Kartunis Lagenda Ujang, Ibrahim Anon pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 Jun 2026.

KUALA LUMPUR – Kartunis tersohor, Ibrahim Anon atau lebih dikenali sebagai Ujang mengakui kekuatan sebenar yang membuatkannya terus bertahan dalam fasa paling sukar hidup adalah tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Menurut beliau, ketika melalui fasa kejatuhan sekitar tahun 2000, fokus utamanya adalah memastikan anak-anak tetap meneruskan pelajaran sehingga ke peringkat universiti.

Kartunis Lagenda Ujang, Ibrahim Anon pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 Jun 2026.

“Survivallah. Saya ada empat orang anak. Dua masih di universiti, masih belajar lagi. Daripada mula saya bankrap itu, saya punya kekuatan lebih kepada nak sekolahkan dia orang, nak bagi dia orang habis belajar,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di sini hari ini.

Ujang berkata, walaupun berdepan kesukaran hidup, beliau tetap berpandangan, apa yang dimiliki adalah hasil minat dan kebolehan dalam bidang seni kreatif yang terus menjadi pegangan sehingga kini.

Beliau turut mengakui pernah mencuba pelbagai bidang lain namun minat terhadap seni kreatif kekal lebih kuat dan mendorongnya untuk terus berkarya mengikut arus perjalanan hidup.

Dalam pada itu, Ujang berkata, perkembangan industri kartun hari ini jauh berbeza berbanding dahulu yang serba terhad tanpa internet dan rujukan meluas selain melalui kawalan penapisan yang lebih ketat ketika itu.

Menurutnya, karya pada era lama lebih banyak berteraskan kandungan tempatan namun kini generasi baharu mempunyai akses luas kepada pelbagai rujukan dari luar negara.

Bagaimanapun, situasi itu turut membawa cabaran apabila sebahagian karya baharu dilihat kurang membawa identiti Malaysia, meskipun cerita yang diketengahkan bersifat tempatan.

“Perbezaan yang saya nampak sekarang ialah semua orang boleh berkarya. Ramai pelukis yang berkarya tapi kadang-kadang tanpa bimbingan atau guide yang betul. Mereka lebih banyak mendapat rujukan dari luar.

Kartunis Lagenda Ujang, Ibrahim Anon pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 Jun 2026.

“Mungkin ada sedikit kelonggaran dalam karya-karya sekarang tetapi maksudnya, identiti Malaysia itu tidak begitu jelas. Mereka tidak benar-benar membawa identiti Malaysia sebagai pelukis yang mewakili negara.

“Jadi kepada generasi baharu yang baru nak bergiat dalam bidang ini, kalau mereka masih tidak tahu apa yang nak dibuat, mereka boleh sertai Komik Studio.

“Kita sediakan platform. Mereka boleh buat e-komik. Kita ajar cara melukis komik daripada peringkat manual sehinggalah ke komputer dan animasi.

“Mereka boleh masuk ke platform kita dan muat naik komik di situ. Platform itu percuma. Mereka boleh berkarya dan jika ada jualan, mereka akan dapat hasilnya. Kita tidak ambil apa-apa,” ujarnya.

Tambahnya, inisiatif itu diharap dapat membantu generasi baharu yang masih mencari arah dalam bidang komik dan seni kreatif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast