KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyelar DAP yang disifatkan `lagi teruk’ susulan dakwaan tular menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurutnya, DAP sering mengecam pihak lain kerana membuat lantikan politik di GLC, yang pada parti itu tidak beretika, tidak profesional dan tidak reformis.
“Tidak disangka DAP guna jawatan GLC untuk berjual beli politik. Ini terdedah apabila YB Marina Ibrahim menolak tawaran tersebut asalkan dia setuju bertanding di DUN Tiram.
“DAP sering mengecam pihak lain kerana membuat lantikan politik di GLC. Pada DAP itu tidak beretika, tidak profesional dan tidak reformis.
“Tapi DAP lagi teruk. Tawaran dibuat sebelum menang pilihanraya.
“Lainlah sikit jika dilantik selepas pilihanraya untuk mengiktiraf kedudukannya sebagai YB kerana tidak dilantik Exco atau Menteri,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Sementara itu, Mohd Puad berkata, janji yang dibuat Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching itu membuktikan DAP mempunyai pengaruh yang besar terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Itu belum cakap pasal Selangor dan Pulau Pinang. Justeru kita cabar DAP, dedahkan YB dan pemimpin DAP yang bukan YB tetapi pegang jawatan GLC pusat dan negeri,” katanya.
Terdahulu, tular satu surat mendakwa Marina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, membuat keputusan mengundurkan diri daripada politik.
Difahamkan, keputusan itu ada kaitan selepas beliau diminta untuk berpindah ke kerusi DUN Tiram, bukannya kekal di kerusi DUN Skudai walaupun telah menabur bakti di kawasan berkenaan, sebelum ini.
Dalam pada itu, tidak ada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak setakat ini berhubung dakwaan surat tular yang mendakwa Marina akan diberikan jawatan dalam GLC sekiranya gagal memenangai kerusi DUN Tiram pada PRN Johor akan datang. – MalaysiaGazette
















