Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed
Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

JOHOR BAHRU – Pas Johor menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini sebagai mengejutkan kerana diumum tanpa sebarang petanda.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu adalah secara tiba-tiba walaupun sebelum itu perkara berkenaan ada kedengaran tetapi tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Agak mengejutkan walaupun sudah ada maklumat berkenaan (pembubaran DUN) sejak pagi tadi. Apa pun, saya sudah mengarahkan agar jentera Pas digerakkan semaksimum mungkin bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Saya akan muktamadkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi Pas di negeri ini bersama-sama parti komponen lain dalam PN,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor ketika dihubungi.

Hari ini, Menteri Besar Johor,  mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Pembubaran itu diumumkan beliau dalam satu sidang akhbar khas di kediaman rasminya di Saujana di sini setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi tadi.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

Menerusi PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PH pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast