JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan amat penting kerana akan memudahkan sebarang urusan pentadbiran dan pertumbuhan ekonomi.
Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, persefahaman yang wujud antara kerajaan peringkat negeri dan Persekutuan itu akan memudahkan kerjasama kedua-dua pihak.
“Amanah Johor percaya Bangsa Johor akan membuat keputusan yang terbaik dalam memilih kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan dipimpin oleh PMX iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan.
Hari ini Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Pembubaran itu diumumkan beliau dalam satu sidang akhbar khas di kediaman rasminya di Saujana di sini setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pagi tadi.
Aminolhuda yang juga Pengerusi PH Johor berkata, pihaknya sudah bersiap sedia dalam menghadapi PRN tersebut malah jentera juga sudah digerakkan.
“Saya ambil maklum pengumuman YAB Dato Onn Hafiz, MB Johor berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor yang diperkenankan oleh DYAM Pemangku Sultan Johor berkuatkuasa 1 Jun 2026.
“Pakatan Harapan Johor sepertimana yang disebut dalam Konvensyen Pakatan Harapan baru baru ini sudah pun menggerakkan jentera dan bersedia bagi menghadapi pilihan raya negeri kali ini,” katanya.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dijadualkan terbubar secara automatik pada 21 April 2027 sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.
Menerusi PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
PH pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) pula memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.- MalaysiaGazette
















