Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan pengemukaan rayuan taksiran atau permohonan lanjutan masa untuk membuat rayuan terhadap taksiran cukai yang dibangkitkan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 kini boleh dilaksanakan secara dalam talian menerusi perkhidmatan e-Rayuan Taksiran di portal MyTax.

Bagaimanapun, kemudahan itu tidak meliputi kes-kes yang melibatkan Cukai Keuntungan Modal, Cukai Pegangan serta taksiran yang dibangkitkan hasil aktiviti siasatan.

Pembayar cukai boleh mengakses perkhidmatan itu dengan mengikuti panduan mudah dengan melayari portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my; Klik Menu Daftar Masuk > Pilih Peranan Individu / Pengarah Syarikat/ Pentadbir Organisasi / Pentadbir Harta Pusaka (yang mana berkenaan) > Perkhidmatan ezHasil > e-Rayuan > e-Rayuan Taksiran.

Orang ramai juga boleh merujuk Manual Pengguna e-Rayuan Taksiran di halaman e-Rayuan Taksiran di portal MyTax bagi panduan pengisian.

Melalui inisiatif ini, urusan pengemukaan rayuan taksiran yang sebelum ini melibatkan dokumen fizikal dan proses manual kini boleh dilaksanakan secara dalam talian, tanpa perlu hadir ke pejabat HASiL.

Antara pengalaman baharu yang bakal diperoleh pembayar cukai termasuk keupayaan untuk mengemukakan rayuan taksiran/permohonan lanjutan masa membuat rayuan di mana-mana sahaja dan secara masa nyata (real time); menyemak status rayuan taksiran/permohonan lanjutan masa sepanjang proses pengendalian dan Menerima notifikasi status kes, surat pengesahan penerimaan/penolakan dan notis kelulusan lanjutan masa berkaitan secara dalam talian dengan lebih sistematik.

Dari segi akses, pembayar cukai individu boleh mengemukakan rayuan taksiran atau permohonan lanjutan masa melalui peranan individu manakala Pengarah Syarikat atau Pegawai Syarikat yang dilantik dan Pentadbir Organisasi bagi kes Selain Syarikat seperti Koperasi, Badan Amanah, Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) dan lain-lain boleh berbuat demikian melalui peranan Pengarah Syarikat/Pentadbir Organisasi.

Pelaksanaan inisiatif itu selaras dengan usaha berterusan HASiL untuk memperkasa transformasi digital perkhidmatan percukaian ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan mesra pelanggan. Sebarang pertanyaan serta maklum balas, sila hubungi kami menerusi: a) HASiL Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1000 (Luar Negara); HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/ – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast