KOTA TINGGI – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 bukan sekadar pertandingan politik tetapi mandat rakyat menentukan masa depan negeri berkenaan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, PN menawarkan sebuah perjuangan yang berteraskan integriti, kestabilan, kebajikan rakyat serta tadbir urus yang bersih dan bertanggungjawab.
“Sehubungan itu seluruh jentera PN Johor di semua peringkat negeri, bahagian, Dewan Undangan Negeri (DUN), pusat daerah mengundi (PDM) dan cawangan berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya untuk digerakkan bagi menghadapi PRN yang bakal diadakan.
“PN Johor telah membuat persiapan awal sejak sekian lama melibatkan penyusunan organisasi, pengukuhan gerak kerja akar umbi, latihan petugas pilihan raya serta pemetaan strategi di seluruh 56 kawasan DUN,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, fokus utama PN adalah memastikan setiap jentera bergerak secara tersusun, berdisiplin dan berkesan bagi menyampaikan mesej perjuangan PN kepada rakyat Johor.
Pihaknya menyeru seluruh pimpinan, anggota parti serta penyokong PN supaya memperkukuhkan saf perjuangan, mengetepikan segala perbezaan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya.
“Semangat kebersamaan dan kesatuan adalah kekuatan utama kita dalam menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.
Pada masa yang sama ujarnya, PN Johor akan terus mendekati rakyat, mendengar denyut nadi mereka serta membawa suara dan harapan rakyat ke hadapan.
“Kita yakin rakyat Johor mahukan sebuah kerajaan yang benar-benar memahami kesusahan mereka serta mampu menawarkan penyelesaian kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan seimbang dan kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah, dengan izin Allah SWT, kerja keras seluruh jentera dan sokongan rakyat, PN Johor akan memberikan saingan yang kuat serta berusaha memperoleh mandat rakyat demi masa depan Johor yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada PRN Johor ke-16.
Pada PRN Johor ke-15 yang berlangsung pada Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing satu kerusi.
PN memenangi tiga kerusi, sementara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.- MalaysiaGazette
















