Mohd Puad Zarkashi

JOHOR BAHRU – Surat pemasyhuran memansuhkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 sudah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan tindakan tersebut susulan pembubaran DUN Johor semalam.

Beliau berkata, menerusi penyerahan surat tersebut kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, secara langsung membolehkan SPR melaksanakan proses seterusnya untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

“Dimaklumkan bahawa Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah berkenan membuat pemasyhuran memansuhkan Dewan Negeri Johor pada 1 Jun 2026.

“Pemasyhuran tersebut dirujuk sebagai JPU No. 18 Tambahan No. 10 Jil. 70 No. 22 bertarikh 1 Jun 2026. Sekian, untuk makluman pihak Yang Berbahagia Datuk,” menurut kandungan warta berkenaan hari ini.

Terdahulu, Ramlan berkata, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi urusan PRN Johor sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN Johor daripada Speaker DUN Johor.

Beliau berkata, mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN berkenaan.

DUN Johor bagi penggal ke-15 secara rasminya dibubarkan semalam, sekali gus membuka laluan kepada PRN.

Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas menghadap dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Pembubaran itu dibuat selaras dengan peruntukan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

Dengan pembubaran itu, Johor kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN kelak.

Mengikut peruntukan undang-undang, SPR mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast