GEORGE TOWN – Parti Gerakan menyifatkan perjuangan DAP kini tidak selari dengan agenda reformasi dalam isu pelantikan politik apabila wujud kenyataan mengenai penempatan wakil rakyat yang tewas ke jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bercanggah dengan slogan menolak amalan tersebut.
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, kenyataan itu bukan sekadar kesilapan percakapan, sebaliknya mencerminkan bahawa jawatan dalam badan berkanun dan GLC telah lama dilihat sebagai alat tawar-menawar politik.
Katanya, jika keputusan pilihan raya belum diketahui tetapi perbincangan mengenai penempatan jawatan sudah dibuat lebih awal, keadaan itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kebebasan serta profesionalisme institusi kerajaan.
“Apabila jawatan dalam badan berkanun dan GLC dibincangkan sebelum keputusan pilihan raya diketahui, ia menimbulkan persepsi bahawa kedudukan tersebut telah dijadikan sebahagian daripada percaturan politik.
“Rakyat berhak mengetahui sama ada pelantikan dibuat berdasarkan merit dan kelayakan atau sebagai ganjaran kepada pihak tertentu yang terlibat dalam politik.
“Keadaan seperti ini boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap integriti institusi kerajaan serta proses pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurutnya, DAP selama ini meraih sokongan rakyat dengan imej sebagai parti yang menentang pelantikan politik dan penyalahgunaan kuasa, namun kini secara terbuka mengakui amalan yang pernah dikritiknya.
Jelasnya, isu itu turut mendedahkan kewujudan persaingan kuasa dalam DAP apabila pengagihan jawatan dilihat sebagai kaedah untuk menguruskan kepentingan politik dalam parti.
“DAP pernah mengangkat dirinya sebagai parti reformasi, namun kini terus dibelenggu kontroversi pelantikan politik.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti moral parti tersebut, malah menimbulkan keraguan terhadap komitmennya dalam melaksanakan agenda reformasi yang dijanjikan.
“Jika pelantikan politik terus menjadi amalan, sukar untuk rakyat mempercayai bahawa perubahan yang dijanjikan benar-benar dilaksanakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memastikan setiap pelantikan jawatan tinggi dalam badan berkanun dan GLC dibuat berdasarkan keupayaan profesional, proses yang telus serta kepentingan awam, bukannya dijadikan platform pembahagian kepentingan politik parti. – MalaysiaGazette
















