KULAI – Hasrat seorang peniaga untuk mendapatkan pinjaman setengah juta ringgit bukan sahaja tidak kesampaian, malah wang simpanan RM478,093 lesap.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun mendakwa dirinya ditipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai semalam.
“Pengadu mendakwa dirinya telah mengalami kerugian akibat ditipu oleh seorang perempuan yang menawarkan pinjaman tidak wujud.
“Mangsa berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM500,000 sebelum membuat 191 kali transaksi pembayaran berjumlah RM478,093.00 ke dalam satu akaun bank tempatan.
“Transaksi tersebut dilakukan bermula dari 30 Jun 2025 sehingga 16 Februari 2026 atas arahan suspek kononnya sebagai bayaran ctos, LHDN, stamping dan dokumentasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, apabila membuat semakan dengan pihak bank, mangsa mendapati tiada sebarang permohonan pinjaman dibuat atas namanya.
Mangsa kata beliau, kemudian mengesyaki dirinya sudah ditipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pinjaman tidak wujud, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu hingga 10 tahun berserta sebatan dan juga boleh dikenakan denda.
Pihak polis menyeru dan menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan individu yang menawarkan pinjaman yang kononnya mudah dan cepat.
Nasihatnya, orang ramai perlu membuat semakan dengan pihak bank atau pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang bayaran.
Mereka juga diingatkan menggunakan khidmat dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID infoline serta menggunakan portal Semak Mule untuk menyemak akaun bank atau nombor telefon suspek.
Tambahnya, boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan modus operandi jenayah komersil melalui laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia.- MalaysiaGazette
















