JOHOR BAHRU – Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Johor mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan kerana mahu bersaing dengan MIC mahupun mana-mana parti politik.
Pengerusi Jawatankuasa MIPP Negeri Johor, Dr S. Saswin berkata, parti itu tidak menjadikan MIC sebagai pesaing utama dan juga tidak berniat untuk bertembung secara langsung dengan mana-mana parti.
“Kami tidak berada di sini untuk bertelagah atau bersaing dengan MIC atau mana-mana parti politik lain. Fokus kami ialah berkhidmat dan fokus kepada usaha membela rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, MIPP bersama-sama rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) sedang meneliti beberapa kerusi berpotensi untuk ditandingi.
Katanya, antara yang dikenal pasti ialah beberapa kawasan yang dilihat mempunyai keperluan tinggi untuk mewakili suara serta menjadi kepimpinan masyarakat India dan rakyat setempat.
Dr Saswin berkata, politik seharusnya tidak dilihat semata-mata sebagai perebutan kerusi, sebaliknya sebagai medan untuk membina kepercayaan rakyat melalui khidmat dan keikhlasan.
Menurutnya lagi, MIPP akan terus turun padang mendekati masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bagi memastikan suara rakyat didengari serta diangkat ke peringkat lebih tinggi.
“Kami tidak mengejar kerusi, kami mengejar kepercayaan rakyat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap semua parti politik dan berharap suasana politik di Johor kekal matang serta harmoni demi masa depan negeri yang lebih baik.- MalaysiaGazette
















