BATU PAHAT – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak mempunyai hak untuk menubuhkan parti sebagai wadah dan landasan perjuangan politik mereka.
Menurut Perdana Menteri, penubuhan parti baharu semakin kerap kedengaran sejak akhir-akhir ini malah hampir setiap minggu.
“Nak test (sokongan) paling utama masa pilihan raya. Parti banyak, tiap minggu ada parti baharu, masing-masing ada hak tapi saya nak tanya apa yang lain dan apa yang isitmewa.
“Ini negara yang penuh cabaran (untuk ditadbir),” katanya berucap dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Kim’s Park Business Centre di Batu Pahat malam ini.
Sebelum ini, bekas timbalannya dalam parti, Datuk Rafizi Ramli menubuhkan Parti Bersama.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan rakyat supaya menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memilih kerajaan yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat dan bukannya terlibat dengan amalan salah guna kuasa atau politik perkauman.

Katanya, rakyat Johor perlu menilai prestasi serta dasar yang ditawarkan setiap parti, bukannya terpengaruh dengan sentimen yang memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.
“Kuasa berada di tangan rakyat. Gunakan kuasa itu dengan baik kerana kerajaan yang dipilih nanti adalah cerminan keputusan rakyat sendiri,” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan terhadap semangat ditunjukkan rakyat Johor yang disifatkan semakin matang dan tidak mudah dipengaruhi politik kebencian berasaskan kaum serta agama.
“Orang Melayu, Cina dan India hidup bersama tanpa masalah. Yang sering membesarkan isu perkauman adalah ahli politik tertentu. Rakyat sebenarnya mahu kestabilan, pembangunan dan masa depan yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















