Kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) merupakan punca Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dan Johor dibubarkan kerana mempunyai matlamat politik untuk menguasai dua negeri itu.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali mendakwa, BN mahu menjadi parti dominan dan mereka menggunakan dua isu berbeza untuk merealisasikannya.

“DUN Negeri Sembilan dibubarkan kerana krisis politik yang berpunca daripada percaturan BN sehingga kerajaan menjadi minoriti.

“DUN Johor pula dibubar berpunca daripada cita-cita politik BN untuk mengukuhkan dominasi politiknya walaupun tanpa keperluan mendesak dari sudut kestabilan kerajaan negeri.

“Walaupun pembubaran DUN Negeri Sembilan dan DUN Johor nampak macam sama, tetapi sebenarnya ada latar belakang isu yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembubaran DUN Negeri Sembilan berlaku selepas usaha BN menjatuhkan kerajaan sedia ada melalui percaturan politik yang yang disebut-sebut sebagai ‘tebuk atap’ menemukan jalan buntu.

Pembubaran DUN Johor pula katanya, bukan disebabkan kerajaan kehilangan majoriti atau berdepan dengan krisis politik.

Menurut beliau, kegagalan usaha BN di Negeri Sembilan sudah mewujudkan keadaan kerajaan minoriti yang menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.

Dalam situasi itu, beliau berkata, pembubaran DUN Negeri Sembilan dan usaha mengembalikan mandat kepada rakyat merupakan pilihan yang terpaksa diambil bagi menyelesaikan kemelut politik, sekali gus membentuk semula kerajaan yang sah menerusi sokongan jelas di DUN.

“Di Johor pula, langkah membubarkan DUN didorong oleh hasrat BN untuk bertanding secara solo di semua 56 kerusi DUN, dengan matlamat untuk menjadi satu-satunya parti yang mendominasi kerajaan negeri,” ujar beliau.

Bagaimanapun katanya, keputusan di Johor dibuat ketika negara sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi.

“Malah, pilihan untuk mengadakan PRN secara berasingan daripada pilihan raya umum (PRU) pasti akan mengakibatkan perbelanjaan yang besar, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keutamaan sebenar di sebalik pembubaran tersebut,” jelasnya.

Beliau menegaskan wujud perbezaan di antara kedua-dua situasi berkenaan, namun perkara yang sama bagi kedua-dua kes tersebut adalah ia berpunca daripada tindakan BN di negeri masing-masing.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast