KUANTAN – Pemuda Pas Pahang mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Andansura Rabu bertanding di kerusi Parlimen Indera Mahkota (IM) mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas (DPP) Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara menerusi Mesyuarat Agung Tahunan DPP Indera Mahkota hari ini.
“Atas rasa tanggungjwab dan setelah menilai beberapa faktor luaran dan dalaman, hari ini di Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda Pas Indera Mahkota satu usul politik telah dibahaskan.
“Usul yang berbunyi mencadangkan Kerusi P082 Indera Mahkota yang bakal ditandingi PN diwakili oleh Pas dan mencadangkan Pengerusi PN IM iaitu Datuk Andansura Rabu sebagai calon tersebut telah dibahas secara lumat oleh semua perwakilan yang hadir.
“Usul ini telah diluluskan secara sebulat suara selepas perbahasan oleh para perwakilan. Ironinya didalam Pas, adab berjamaah sentiasa menjadi asas dalam membuat keputusan,” katanya menerusi kenyataan.
Mengulas lanjut, Ahmad Azlan berkata, kerusi IM yang dahulunya kubu kuat Barisan Nasional (BN) kini menjadi milik PN yang diwakili Bersatu iaitu Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan sejak tiga kali pilihan raya umum lepas telah menjadi kerusi rebutan.
Justeru, katanya Pas mahu terus memastikan kerusi IM kekal milik PN, tapi menerusi parti itu kerana mengambil kira pelbagai faktor politik terkini yang menimbulkan keresahan rakyat di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette
















