JOHOR BAHRU – Kerakusan UMNO yang didakwa gila kuasa dan menghalalkan segala tindakan atas alasan ‘kestabilan politik’ perlu ditolak dalam pilihan raya negeri (PRN) di Johor atau Negeri Sembilan akan datang, kata Exco Pemuda Parti Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda.
Dakwa beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadikan negara ini seperti hak milik mereka apabila disifatkan bebas berbuat sesuka hati.
“Inilah masalah politik mabuk kuasa. Yang mabuk ialah orang orang politik seperti UMNO dan BN tetapi yang pening ialah rakyat. Dalam sejarah Eropah, ada istilah Pyrrhic victory iaitu kemenangan yang kosnya terlalu tinggi hingga kemenangan itu sendiri hampir menjadi kekalahan.
“Istilah ini merujuk kepada Raja Pyrrhus dari Epirus yang menang melawan Rom, tetapi kehilangan begitu banyak kekuatan sehingga kemenangan itu akhirnya merugikan dirinya sendiri.
“Begitulah juga politik hari ini. Mungkin UMNO dan BN merasakan mereka sedang menyusun kemenangan. Mungkin mereka yakin boleh mengukuhkan blok sendiri, menambah kerusi atau menekan lawan politik,” katanya dalam kenyataan.
Namun katanya, jika harga kemenangan itu ialah ketidakstabilan, pembaziran wang rakyat, gangguan pentadbiran dan keletihan rakyat terhadap politik, maka itu bukan kemenangan yang bijak.
“Itu kemenangan Pyrrhus. Menang sorak, negara tergadai tenaganya,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Amanah Johor.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak pernah gentar untuk berkawan atau berlawan tetapi rakyat perlu menilai dengan jelas siapa yang berpolitik untuk kestabilan dan siapa menjadikan kestabilan sebagai alasan untuk merampas ruang kuasa.
“Kita boleh berbeza pandangan kendatipun bila politik mula mengorbankan kepentingan awam hanya untuk melayan ego kelompok yang lapar kuasa, maka kelompok itu mesti dilawan dengan jelas,” katanya.
Menurutnya, semua tahu bahawa pilihan raya memerlukan kos besar yang mana PRN enam negeri pada 2023 dianggarkan menelan belanja RM420 juta iaitu purata sekitar RM70 juta bagi setiap negeri, manakala PRN Johor 2022 pula dianggarkan RM96 juta.
“Jika dua PRN diadakan secara mengejut, kita sedang bercakap tentang puluhan juta ringgit wang awam yang boleh digunakan untuk keperluan rakyat, bantuan krisis, sekolah, klinik, infrastruktur kecil atau program perlindungan sosial. Telan air liur saya memikirkannya,” katanya.
Fadhli Umar berkata, ketidakstabilan politik sebelum ini akibat tamak kuasa tidak pernah menjadi pengajaran.
“Saya ingin buka semula kisah 2020. Pada 2020 adalah titik mula siri ketidakstabilan politik Malaysia dan ia mengajar kita bahawa apabila politik dikuasai oleh nafsu merebut kuasa, rakyat akhirnya dipaksa membayar harga yang sangat mahal.
“Pada 2020 Di Sabah, masih ingat lagi krisis Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah? Biar saya ceritakan semula, krisis bermula apabila Tan Sri Musa Aman cuba membentuk kerajaan baharu selepas mendakwa mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” ujarnya.
Datuk Seri Shafie Apdal pula dakwanya, kemudian membubarkan DUN Sabah, lalu PRN terpaksa diadakan ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.
Menjelang hari pengundian pada 26 September 2020 katanya, kes aktif Covid-19 di Sabah meningkat daripada 397 pada hujung Julai kepada 1,547 kes.
Menjelang akhir Oktober pula katanya, Malaysia merekodkan 30,889 kes kumulatifndengan 14,519 kes di Sabah sahaja.
Perdana Menteri ketika itu sendiri kemudian mengakui bahawa PRN Sabah menyumbang kepada gelombang ketiga Covid-19, katanya.
Lebih parah katanya, PRN Sabah menelan belanja RM130 juta termasuk kos logistik, petugas, peralatan pilihan raya dan keperluan pencegahan Covid-19.
“Ini bukan angka kecil. Ini wang rakyat. Ini sumber negara. Ini kos yang muncul kerana percaturan politik yang sepatutnya boleh dielakkan,” katanya.
Hari ini tahun 2026 katanya, episod yang sama seolah-olah berulang, di Negeri Sembilan, kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Aminuddin Harun menerima mandat rakyat pada PRN 2023.
Ujarnya, PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi dan PN (5), namun pada April lalu, kesemua 14 ADUN UMNO BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar dan mencetuskan krisis politik negeri.
“Alasannya prinsip. Tetapi prinsip apakah namanya jika mandat yang diberikan rakyat akhirnya dijadikan alat tawar-menawar kuasa? Prinsip apakah yang memaksa rakyat kembali ke medan pilihan raya sebelum tempoh matang DUN, sedangkan Negeri Sembilan sepatutnya boleh bertahan sehingga 2028,” soalnya.
Di negeri ini pula katanya, ceritanya lebih menarik kerana Johor bukan kerajaan rapuh malah tiada Kerajaan Perpaduan yang sedang diganggu rakan gabungan.
“Johor ialah kerajaan BN yang kukuh. Tiada usul tumbang kerajaan. Tiada krisis majoriti yang mendesak. Tetapi pada 1 Jun 2026, Menteri Besar Johor mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa serta-merta. Persoalannya mudah. Mengapa sekarang.
“Ketika rantau Asia Barat masih tidak menentu, ketika krisis tenaga dan kos sara hidup menekan rakyat, ketika kerajaan dan kementerian diminta berjimat, kita tiba-tiba dipaksa melayan satu lagi episod pilihan raya,” katanya.
Jelasnya, jika alasannya kestabilan, Johor sudah stabil dan jika alasannya mandat, mandat masih berjalan.
Maka katanya, semakin sukar untuk menolak andaian bahawa pembubaran itu lebih berkait dengan penyusunan semula kuasa politik BN berbanding keperluan sebenar rakyat.
“Kesan politik seperti ini bukan hanya berlaku dalam dewan. Pasaran juga membaca sentimen. Berdasarkan saham Bursa Malaysia Berhad yang dikongsi, harga turun daripada sekitar RM8.45 kepada RM8.42 dalam tempoh beberapa hari selepas pengumuman politik ini.
“Memang kita tidak boleh menyimpulkan bahawa kejatuhan kecil ini berlaku semata-mata kerana pembubaran DUN, tetapi ia tetap menunjukkan satu perkara penting.
“Pasaran sensitif terhadap ketidaktentuan politik. Pada 4 Jun 2026, indeks pasaran Bursa Malaysia berada pada 1,683.26 mata dengan data penyertaan pasaran menunjukkan pelabur asing mencatat aliran keluar bersih RM454 juta pada 3 Jun lalu,” katanya.- MalaysiaGazette
















