Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan telah menerima surat daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai hubungan antara kedua-dua parti itu.

Menurut beliau, surat bertarikh semalam itu turut melibatkan cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, ujarnya, beliau akan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap cadangan-cadangan tersebut dan membawa perkara itu ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk diteliti.

“Bersatu mengulangi tekad dan iltizam kami untuk terus memelihara hubungan baik dengan Pas dalam PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mana parti itu akan membuat keputusan mengenai hubungan dengan Bersatu dalam PN pada mesyuarat jawatankuasanya malam esok.

Hubungan antara kedua-dua rakan komponen dalam PN itu sebelum ini dilaporkan tegang selepas Abdul Hadi menyatakan Pas akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan yang didakwa tidak selari dengan semangat setia kawan.

Antara perkara dibangkitkan Abdul Hadi adalah penarikan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Negeri Sembilan untuk bersama UMNO bagi membentuk kerajaan negeri serta konflik politik di Perlis yang menyaksikan Bersatu mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri.

Turut memanaskan hubungan Pas dan Bersatu adalah dakwaan campur tangan pelantikan Exco Kedah dan timbalan speaker di Kelantan.

Selain itu, Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas turut melahirkan kebimbangan serius terhadap krisis dan konflik dalaman Bersatu yang dilihat memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan serta keyakinan rakyat terhadap hala tuju PN, sekali gus menyerahkan kepada kepimpinan Pas pusat bagi menilai hubungan dengan parti tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast