Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2026.

ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Johor bukan tempat untuk mana-mana pihak dijadikan sebagai medan eksperimen politik atau platform menumpang pengaruh semata-mata.

Beliau berkata, rakyat Johor sudah melalui pelbagai episod politik dan mampu menilai parti yang benar-benar konsisten berkhidmat berbanding pihak yang hanya tampil dengan retorik serta janji besar.

Menurut beliau, suatu ketika dahulu terdapat parti yang mendakwa UMNO dan BN sudah tidak lagi relevan di Johor, malah meramalkan pengaruh parti itu akan lenyap di negeri berkenaan.

“Kalau kita masih ingat lagi, ada parti jalanan pernah datang dengan janji besar dan cerita besar. Mereka melaungkan BN sudah tidak relevan. Mereka kata UMNO akan mati di Johor.

“Namun hari ini, pihak yang mahu menggantikan UMNO kini bergelut mencari arah.

“Manakala mereka yang bercita-cita menjadikan Johor sebagai tapak kuasa politik pula sedang sibuk mempertahankan sisa pengaruh masing-masing,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity, di sini, hari ini.

Gelagat penyokong yang hadir pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2026.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, keadaan politik semasa membuktikan kekuatan sesebuah parti tidak boleh dibina atas sentimen kemarahan atau dendam politik semata-mata.

“Johor bukan tempat mencuba nasib. Johor bukan tempat menumpang pengaruh. Johor bukan medan eksperimen politik dendam.

“Parti yang lahir daripada pengkhianatan jangan bercakap soal prinsip,” tegas beliau.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid mengingatkan seluruh jentera dan anggota BN supaya tidak terlalu selesa dengan kelemahan lawan, sebaliknya terus memperkukuhkan sokongan rakyat melalui perkhidmatan yang berkesan.

“Kita tidak kuat kerana lawan lemah. Kita kuat kerana kita bekerja untuk rakyat. Kita kuat kerana kita berkhidmat. Kita kuat kerana kita mendengar suara rakyat,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa pendekatan dan gagasan Rumah Bangsa Johor akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuhkan kembali sokongan rakyat terhadap BN di negeri itu.

“Insya-Allah, jika itulah yang terus kita sandarkan, melalui Rumah Bangsa, kerusi-kerusi yang terlepas sebelum ini akan kembali ke dakapan kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast