KUALA LUMPUR – Kegiatan seorang pemandu kereta sewa haram atau ‘ulat’ yang aktif menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terbongkar selepas ditahan dalam operasi penguatkuasaan, semalam.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan, tangkapan dilakukan hasil intipan dan pemantauan yang dijalankan oleh Stesen Penguatkuasa KLIA di Terminal 1 KLIA.
Menurutnya, sebuah kenderaan jenis Proton Saga bersama pemandunya telah ditahan dan disita bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati suspek telah memujuk, merayu serta menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada tiga warga Pakistan dari Terminal 1 KLIA menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
“Tambang yang dikenakan adalah sebanyak RM60 dan akan dibayar setelah tiba di destinasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
JPJ berkata, individu yang didapati bersalah menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa lesen boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut JPJ, mana-mana pihak yang bersubahat dalam aktiviti berkenaan juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta yang sama.
Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah melalui kaunter rasmi yang disediakan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau membuat tempahan menerusi aplikasi e-hailing. – Malaysia Gazette.
















