Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2026.

ISKANDAR PUTERI – Keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat bagi mengembalikan kuasa memilih kepada rakyat dan bukannya kerana kepentingan politik, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, rakyat Johor berhak menentukan kerajaan yang mereka mahukan serta menilai prestasi pentadbiran semasa.

“Ada pihak sebelah sana mempersoalkan langkah Menteri Besar Johor membubarkan DUN. Ada yang berkata BN mahu bermain sandiwara politik.

“Tetapi hakikatnya, hari ini, esok atau tahun hadapan sekalipun, pembubaran tetap akan berlaku, malah, selang beberapa hari sahaja selepas itu, Negeri Sembilan juga dibubarkan dan ia bukan dilakukan oleh BN.

“Kita memilih untuk mengembalikan mandat kepada rakyat, kerana bangsa Johor adalah hakim tertinggi dalam demokrasi,” katanya berucap merasmikan Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity, di sini, hari ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersorak ketika berucap pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2026.

Ahmad Zahid berkata, BN memerlukan mandat yang jelas dan kukuh bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan.

“BN sekali lagi memohon mandat yang jelas, kukuh dan mutlak untuk memastikan pembangunan Johor berjalan lancar.

“Mandat supaya pelaburan terus masuk dengan yakin. Mandat supaya Bantuan Kasih Johor sampai tanpa gangguan.

“Mandat supaya peluang pekerjaan anak muda Johor terus berkembang,” katanya.

Katanya lagi, BN mengakui barisan kepimpinan dan akar umbi tidak lekang daripada melakukan kesilapan, namun gabungan itu sentiasa memperbaiki segala kelemahan yang wujud untuk memastikan kebajikan rakyat terbela.

“BN Johor bukan sempurna sepenuhnya, tetapi kita tidak pernah berhenti bekerja dan tidak pernah sesekali berputus asa. Janji kita jelas. Bangsa Johor mesti mampu membina masa depan di buminya sendiri.

“Bangsa Johor mesti boleh belajar di Johor, bekerja di Johor, memiliki rumah di Johor, membina keluarga di Johor, dan mencipta kehidupan yang lebih baik di Johor,” katanya.

Katanya lagi, BN nekad untuk menjadikan Johor sebagai negeri contoh, bukan sahaja menarik pelaburan, bahkan mencipta pekerjaan kepada rakyat jelatanya.

“Bukan hanya mencatat pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan anak muda Johor turut merasai nikmatnya.

“Inilah perjuangan sebenar BN Johor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast