Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berucap pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan lebih awal sedangkan tempohnya masih ada hingga April tahun depan kerana kewajaran dan kesesuaian.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazie berkata, jika PRN diadakan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan akan berdepan kesukaran kerana musim hujan dan tengkujuh selain sambutan Ramadan, Syawal dan Tahun Baharu Cina.

“Ramai tanya saya kenapa bubar 1 Jun sedangkan kita ada sehingga April tahun depan (penggal habis April 2027). Kita ada setahun lagi, tapi semua sedia maklum walaupun ada sampai April (tamat penggal April tahun depan) hakikatnya bulan tiga (Mac) ada Hari Raya Aidilfitri.

“Bulan dua (Februari) pula bulan puasa dan Gong Xi Fa Chai, kalau diadakan November atau Disember dan Januari musim banjir. Itulah hakikatnya. (Jadi) macam mana pula nak pilihan raya,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di Stadium Tertutup Kompleks Educity di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri Dr SA Vigneswaran dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Onn Hafiz berkata, hakikat tersebut diketahui oleh orang Johor berbanding mereka yang datang sekali sekala ke negeri ini untuk menghasut.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor berkata, keadaan geopolitik di Asia Barat juga memberi kesan global termasuk menjadikan keadaan menjadi tidak stabil.

Dalam pada itu, Onn Hafiz mengakui kini mula tertekan dan merasakan kehangatan PRN Johor serta berharap rakyat Johor bijak membuat pilihan pada kali ini.

“Jangan judge BN dengan apa yang orang luar sana kata atau fitnah kita. Sebaliknya lihat apa yang kerajaan negeri sudah lakukan, lihat track record dan lihat kebenaran. Gunakan kebijaksanaan dan kewarasan bila pilih nanti,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast