JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor mengingatkan bahawa DAP pernah meminta bantuan Barisan Nasional (BN) semasa berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) di Pulai dan Simpang Jeram pada September 2023.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose berkata, peringatan itu dibuat selepas DAP Johor mengungkit semula Barisan Nasional (BN) pernah meminta bantuan DAP dalam PRK Mahkota.
“Tidak harus dilupakan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP pernah meminta pertolongan BN Johor semasa untuk memenangkan calon mereka di Pulai dan Simpang Jeram,” tulisnya dalam hantaran terbaharu dalam Facebook hari ini.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika berucap dalam pelancaran jentera BN Johor menegaskan, beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar Johor sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP jika menang dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Susulan itu, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Baghraib Ali menyifatkan kenyataan Onn Hafiz berkenaan DAP sebagai angkuh malah mendakwa Menteri Besar Johor itu pernah merayu bantuan DAP untuk berkempen memenangkan calon BN di PRK Mahkota.- MalaysiaGazette
















