Suraya Sulaiman.

JOHOR BAHRU – Masa depan Johor memerlukan kepimpinan yang berintegriti, berani, berpandangan jauh dan mampu menyelesaikan masalah rakyat.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, masa depan negeri ini tidak boleh ditentukan oleh kekuatan pelancaran jentera parti yang gah semata-mata tetapi pada masa sama rakyat masih hidup susah.

Jelasnya, nasib dan kepentingan rakyat akan ditentukan oleh keupayaan pihak menawarkan dasar yang mampu menjamin kesejahteraan rakyat untuk jangka panjang.

“Rakyat Johor tidak memerlukan lebih banyak gimik politik. Rakyat Johor memerlukan penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pejuang Johor menyeru semua parti yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang agar mengemukakan penyelesaian jelas terhadap isu kos sara hidup, perumahan mampu milik, keselamatan bekalan air, peluang pekerjaan berkualiti dan pengurusan pembangunan negeri yang lebih mampan.

Pejuang Johor berpandangan bahawa pelancaran jentera dan persiapan pilihan raya tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada isu-isu sebenar yang sedang membelenggu rakyat Johor ketika ini.

Rakyat Johor hari ini katanya, berdepan pelbagai cabaran yang semakin menekan kehidupan harian mereka.

“Kos sara hidup terus meningkat, harga rumah semakin tidak mampu dimiliki golongan muda, kadar sewa kediaman dan premis perniagaan meningkat terutama di kawasan Johor Bahru dan Iskandar Puteri, manakala harga barangan keperluan harian terus memberi tekanan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, isu bekalan air yang berulang, pencemaran sungai serta tekanan terhadap sumber air negeri akibat pembangunan berskala besar masih belum diselesaikan secara menyeluruh.

Rakyat berhak mengetahui apakah jaminan kerajaan negeri bahawa pembangunan yang pesat tidak akan menjejaskan keselamatan bekalan air untuk generasi akan datang, katanya.

Pejuang Johor juga berpandangan bahawa PRN kali ini tidak seharusnya tertumpu kepada persaingan jentera atau siapa yang mempunyai sumber paling besar sahaja.

Sebaliknya, kata Suraya, rakyat perlu diberikan ruang untuk menilai dasar, rekod pentadbiran dan penyelesaian yang ditawarkan oleh setiap parti politik.

Pejuang Johor percaya rakyat hari ini semakin matang dan bijak menilai, mereka tidak lagi mudah terpengaruh dengan program yang bersifat simbolik atau retorik politik semata-mata.

Beliau menambah, sebaliknya mereka mahukan pemimpin yang memahami kesusahan rakyat dan mempunyai keberanian untuk membawa perubahan yang sebenar.

Semalam dan kelmarin, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing melancarkan jentera pilihan raya untuk PRN Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast