JOHOR BAHRU – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Baghraib Ali menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkenaan DAP sebagai angkuh.
Menurutnya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu lupa pernah meminta bantuan DAP semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota di Kluang dua tahun lalu.
“Kenyataan Onn Hafiz Ghazi sangat angkuh. Ingat..semasa Syed Hussien Syed Abdullah bertanding di Mahkota, merayu-rayu kamu minta DAP tolong,” tulis beliau dalam akaun Facebook miliknya malam tadi.
Sheikh Umar turut menegaskan BN tidak seharusnya melupakan sejarah kerjasama politik yang pernah terjalin dengan menggunakan tanda pagar #DudukSemeja dan #MelawanLupa sebagai sindiran terhadap kenyataan terbaru pemimpin BN itu.
Semalam Onn Hafiz menegaskan, beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar Johor sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Tegas beliau, kerjasama antara BN khususnya UMNO dan DAP di negeri ini tidak pernah terjalin selama ini, berbeza berbanding realiti yang dihadapi di peringkat Pusat.
PRK DUN Mahkota pada September 2024 menyaksikan calon BN, Syed Hussein Syed memenangi kerusi tersebut dengan majoriti besar 20,648 undi
Kempen PRK berkenaan menyaksikan kerjasama bersepadu daripada semua parti gabungan melibatkan komponen Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP yang membantu jentera BN.- MalaysiaGazette
















