Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz. Foto MUHAIMIN MARWAN, 06 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Senarai kerusi dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dimuktamadkan selepas 14 Jun ini.

Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, senarai kerusi dan calon mereka akan dibawa dalam Pemukiman Biro Politik MUDA yang bakal diadakan pada 12 hingga 14 Jun ini di Muar.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa itu berkata, kemudian senarai berkenaan akan dimuktamadkan oleh beliau dan Jawatankuasa Pemilihan Calon parti.

“Setakat ini kita telah menerima borang-borang permohonan bagi menjadi calon dan jawatankuasa ini akan menilai, menapis dan memuktamadkan calon bagi PRN Johor ke-16.

“Apa yang penting calon MUDA nanti mestilah terdiri daripada anak jati Johor, tahu isu-isu di negeri ini yang akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.

“Kita tak mahu calon tangkap muat. Kita akan ketengahkan calon yang mampu berkhidmat, membawa dasar dan menyelesaikan masalah rakyat,” katanya pada program minum petang bersama media di Setia Tropika di sini hari ini.

Amira Aisya berkata, parti itu juga akan membuat keputusan bergerak secara solo atau menerusi satu kerjasama pilihan raya (electoral pact) bersama-sama parti lain selepas pemukiman berkenaan.

Katanya, MUDA juga akan menggunakan logo parti itu pada pilihan raya kali ini sebagaimana pada PRN terdahulu.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada akan mempertahankan kerusi berkenaan atau bertanding di kawasan lain.

DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Pada PRN Johor 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast