KUALA LUMPUR – Selebriti popular, Che Puan Sarimah Ibrahim akan mengambil tindakan undang-undang susulan tuduhan palsu, kenyataan berbaur fitnah serta gangguan yang didakwa ditujukan terhadapnya dalam media sosial.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon juga pengacara versatil itu di platform Threads bersama kenyataan rasmi peguam mewakilinya daripada firma guaman Arif Azmi & Co.
“Sudah tiba masanya perkara ini dilakukan,” kata isteri kepada Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar itu.
Namun juri tetap program Talk To My Manager 2 itu tidak memperincikan lebih lanjut hal yang membuatkannya nekad berbuat demikian.
Menerusi kenyataan dikongsikan itu, pihak peguam menjelaskan pelbagai usaha telah dilakukan bagi menyelesaikan isu dihadapi anak guamnya secara tertutup.
Bagaimanapun kesan perbuatan yang didakwa menjejaskan reputasi Sarimah itu dikatakan masih berlarutan seterusnya tindakan undang-undang diambil bagi
melindungi kredibilitinya.
“Sebelum mengambil langkah undang-undang, anak guam kami dan wakil-wakil beliau berusaha untuk menangani perkara ini secara tertutup dan penuh hormat.
“Anak guam kami telah memberi arahan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi reputasi, kesejahteraan peribadi dan kepentingan profesional beliau,” tulis kenyataan berkenaan.
Kenyataan sama juga menyebut semua bukti sudah disimpan dan berada dalam pengawasan pihak berkaitan.
“la termasuk pemeliharaan bahan bukti serta pemantauan terhadap sebarang penerbitan, perkongsian atau penerbitan semula kandungan yang berunsur fitnah,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















