JOHOR BAHRU – Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor tidak wajar mengeluarkan kenyataan bersifat politik kepartian yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat dan kerajaan.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain berkata, Onn Hafiz seharusnya mengutamakan kepentingan rakyat dan pembangunan Johor daripada kepentingan politiknya.
“Amanah Johor menasihatkan Onn Hafiz agar mempertimbangkan kedudukannya dalam politik sekiranya beliau benar-benar berpegang kepada pendirian bahawa kerjasama dengan DAP tidak boleh dilaksanakan dalam urusan pentadbiran dan pembangunan negeri.
“Nasihat ini dibuat susulan kenyataan beliau yang dilihat menolak semangat kerjasama politik yang menjadi asas kepada kestabilan kerajaan hari ini.
“Sebagai seorang pemimpin negeri, beliau seharusnya mengutamakan kepentingan rakyat dan pembangunan Johor berbanding sentimen politik kepartian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang berkata, Amanah Johor berpandangan kenyataan sedemikian tidak berpijak pada realiti politik semasa.
“Seorang Menteri Besar seharusnya menjadi simbol penyatuan dan kematangan politik. Kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti dalam gabungan kerajaan hanya akan menimbulkan persoalan mengenai komitmen beliau terhadap kestabilan politik dan kepentingan rakyat,” tegasnya.
Amanah Johor menegaskan, rakyat Johor tidak memerlukan pemimpin yang gemar mencipta jurang politik sebaliknya memerlukan kepimpinan yang mampu merapatkan perbezaan dan membina kesepakatan demi kemajuan negeri.
“Sekiranya seseorang pemimpin tidak lagi mampu menerima hakikat kerjasama politik yang menjadi asas pentadbiran negara pada hari ini, maka beliau wajar menilai semula kesesuaiannya untuk terus memegang jawatan awam yang memerlukan sikap inklusif, demokratik dan berpandangan jauh,” katanya.
Ahad lalu Onn Hafiz ketika berucap dalam pelancaran jentera BN Johor menegaskan, beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar Johor sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP jika menang dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Tegas beliau, kerjasama antara BN khususnya UMNO dan DAP di negeri ini tidak pernah terjalin selama ini, berbeza berbanding realiti yang dihadapi di peringkat Pusat.
Kenyataan Onn Hafiz itu tular dalam media sosial malah mendapat maklum balas segera daripada beberapa pemimpin tertinggi DAP.- MalaysiaGazette
















