Asojan Muniyandy

JOHOR BAHRU –  Pendirian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang tidak mahu membentuk kerajaan negeri bersama DAP tidak seharusnya disalah tafsir sebagai satu bentuk perkauman.

Naib Presiden MIC, Datuk M Asojan menegaskan, keputusan untuk bekerjasama atau tidak dengan mana-mana parti politik adalah hak dan pendirian politik sesebuah parti yang dibuat berdasarkan prinsip, dasar serta pertimbangan politik semasa bukan faktor kaum.

Menurutnya, cubaan melabelkan Onn Hafiz sebagai rasis hanya kerana kenyataan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah boleh mengelirukan rakyat mengenai perbezaan antara persaingan politik dan isu perkauman.

“Menteri Besar, Onn Hafiz sepanjang mentadbir Johor sentiasa membawa pendekatan Bangsa Johor yang menekankan perpaduan, keharmonian dan kebersamaan rakyat pelbagai kaum.

“Justeru, adalah tidak adil untuk menggambarkan beliau sebagai seorang pemimpin rasis hanya kerana menyatakan pendirian politik berhubung kerjasama dengan sebuah parti,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Asojan berkata, rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Onn Hafiz juga membuktikan pelbagai bantuan dan inisiatif dilaksanakan tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.

Katanya, program seperti Bantuan Kasih Johor, Jualan Kasih Johor, bantuan bakul makanan, penambahbaikan perkhidmatan kesihatan serta sokongan kepada pelbagai sambutan kebudayaan dan perayaan membuktikan pendekatan inklusif yang diamalkan kerajaan negeri.

Beliau berkata, sekiranya keputusan untuk tidak menyokong atau bekerjasama dengan sesebuah parti dianggap sebagai perkauman, maka logiknya jutaan pengundi yang tidak mengundi parti tertentu juga perlu dilabelkan sebagai rasis.

“Hujah seperti itu tidak munasabah dan tidak membantu dalam memupuk budaya politik yang matang. Perbezaan pendapat politik perlu dilihat dalam konteks demokrasi dan persaingan idea, bukannya dijadikan alasan untuk menuduh seseorang sebagai perkauman,” tegas beliau.

Pada Ahad lalu, ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya BN Johor, Onn Hafiz menegaskan bahawa BN Johor tidak akan membentuk kerajaan negeri bersama DAP selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Malah beliau berkata, walaupun terpaksa kehilangan jawatan Menteri Besar, beliau tidak akan duduk semeja berunding dengan pemimpin DAP kerana landskap politik Johor berbeza dengan situasi di peringkat Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast