JOHOR BAHRU – Pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Muafakat Nasional (MN) tidak akan dihidupkan semula menamatkan segala spekulasi dan khabar angin yang berlarutan.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan berpendapat, BN mempunyai kekuatan yang mencukupi menerusi sokongan padu parti-parti komponennya iaitu UMNO, MCA, MIC, PPP dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (PBRS).
“Oleh itu, tidak timbul keperluan untuk mendapatkan sokongan daripada pihak luar. Selain parti-parti komponen, BN turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan BN serta pelbagai kumpulan kecil dan serpihan politik yang terus memberikan sokongan kepada gabungan ini.
“Dari hari ke hari, momentum dan sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat dan bertambah kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Begitu juga katanya, kembalinya tokoh-tokoh UMNO seperti Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Tan Sri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Noh Omar.
Jelasnya, ini termasuk lebih 6,000 bekas ahli serta pemimpin menerusi inisiatif Rumah Bangsa, memperkukuhkan lagi BN serta menyumbang ke arah penyatuan orang Melayu yang lebih mantap.
Rakyat kini katanya, semakin menyedari dan menghargai BN sebagai sebuah gabungan yang berpengalaman serta berkeupayaan mentadbir negara, menjana pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan kestabilan politik.
Dakwanya, semakin ramai rakyat bersedia untuk memberikan semula mandat kepada BN.
Pada masa yang sama katanya, BN juga mengakui kelemahan dan kesilapan yang berlaku pada masa lalu serta mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memperbaiki tadbir urus dan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.
Sama ada dalam pilihan raya negeri (PRN) mahupun pilihan raya umum (PRU) akan datang, beliau berkata, BN mempunyai peluang yang cerah untuk memperoleh mandat daripada para pengundi.
“Oleh itu, perpaduan dan kesatuan dalam BN adalah amat penting bagi mengembalikan kekuatan serta kegemilangan BN seperti yang pernah dikecapi sebelum ini,” katanya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilaporkan berkata, kerjasama MN sudah berakhir dan pakatan antara Pas itu tidak akan lagi dihidupkan semula.
Zahid Hamidi berkata, MN yang telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) oleh individu tertentu kini hanya tinggal sejarah.
MN merupakan sebuah pakatan kerjasama politik dan penyatuan ummah yang pada asalnya dimeterai secara rasmi antara UMNO dan Pas pada 14 September 2019.
Pakatan itu bagaimanapun terlerai tidak lama selepas itu apabila Pas membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Malah nama MN turut didaftarkan sebagai sebuah NGO.- MalaysiaGazette
















