Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim.

KUALA LUMPUR – UMNO diingatkan supaya tidak terlalu selesa dan leka dengan pergolakan politik yang melanda beberapa gabungan parti politik, sebaliknya terus memperkukuh parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar berkata, perkembangan terkini yang menyaksikan PAS memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sesuatu yang mengejutkan.

“Alhamdulillah, seperti yang dijangkakan Pas telah memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan PPBM, adakah ia mengejutkan?

“Saya secara peribadi tidak terkejut bila melihat perkembangan terkini hubungan antara kedua-dua parti tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pas secara rasmi memutuskan untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan Bersatu dan perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam pada Isnin.

Gulam juga berkata, tanpa Pas, Perikatan Nasional (PN) berisiko kehilangan pengaruh politik yang selama ini menjadi tunjang utama gabungan berkenaan.

“PN sudah tidak relevan lagi tanpa Pas dan kemungkinan besar Bersatu akan bergerak melalui gabungan politik dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang diwujudkan oleh Bersatu sendiri,” katanya.

Menurut Gulam, situasi tersebut memperlihatkan landskap politik negara yang semakin dinamik, namun UMNO perlu terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan parti dan Barisan Nasional (BN).

“UMNO jangan terlalu seronok dengan apa yang berlaku di dalam kem Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). UMNO yang menunjangi BN masih banyak kerja untuk mengembalikan status quo ketika era BN memerintah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Gulam berkata, kestabilan parti yang dinikmati ketika ini adalah hasil kebijaksanaan kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam mengurus cabaran politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“PH dan PN bergolak, UMNO juga kekal tenang. Hikmahnya bila kita mempunyai kebijaksanaan dalam kepimpinan yang diterajui presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Percaturan dan permainan seni politiknya terlampau halus yang kembali mengukuhkan kedudukan UMNO dalam kestabilan dan perpaduan parti.

“Inilah sebenarnya yang wajib diperlukan untuk menempuh peperangan pilihan raya negeri (PRN) dan akhirnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kelak,” katanya.

Selain itu, kata Gulam, pendekatan tenang dan berhati-hati yang diamalkan Zahid berjaya memastikan UMNO terus relevan serta memperkukuh perpaduan dalaman parti.

“Tutur kata, raut muka dan tubuh badan presiden yang sentiasa nampak tenang bila berada di lapangan, sama ada dalam majlis rasmi kerajaan atau program politik parti mencerminkan beliau bukan calang-calang pemimpin politik.

“Ada peribahasa berkata menahan lukah di pergentingan. Ini yang beliau lakukan selepas PRU-15 lepas,” katanya.

Katanya lagi, majoriti rakyat sudah menyedari Barisan Nasional (BN) merupakan gabungan parti yang kekal konsisten dan berdaya saing dalam landskap politik negara.

“UMNO, MCA, MIC, PBRS dan PPP serta Friend of BN adalah model dan manifestasi terbaik politik inklusif dan moderate bagi semua kaum dalam negara kita.

“Kejayaan BN lebih 60 tahun memerintah bukti jelas untuk rakyat menilai di dalam PRN dan PRU-16 akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast