Mohd Jafni

KULAI – Pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk tidak bekerjasama dengan DAP sebagai satu bentuk penolakan terhadap kerjasama antara kaum adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kenyataan Onn Hafiz itu adalah atas pendirian politik BN Johor yang tidak boleh disamakan dengan negeri lain.

“Dengan penuh hormat, saya berpandangan bahawa tafsiran tersebut adalah salah dan tidak tepat. Ia berpotensi mengelirukan rakyat.

“Datuk Onn Hafiz Ghazi bercakap sebagai Pengerusi BN Johor. Beliau menyatakan pendirian politik BN Johor. Itu hak beliau. Itu tanggungjawab beliau sebagai ketua parti politik dan bukan dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Besar Johor.

“Apa yang menghairankan ialah apabila pendirian politik sebuah parti cuba diterjemahkan sebagai pendirian terhadap sesuatu kaum.

“Menolak kerjasama dengan sebuah parti politik iaitu DAP tidak pernah bermaksud menolak mana-mana kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua UMNO Bahagian Kulai itu berkata, jika setiap perbezaan pendirian politik mahu ditafsirkan sebagai penolakan terhadap sesuatu kaum, maka ruang demokrasi dalam negara ini akan menjadi sangat sempit.

Jelasnya, Onn Hafiz tidak pernah bercakap mengenai kaum dan tidak pernah mempertikaikan hak mana-mana masyarakat.

Banyak program yang dilaksanakan di Johor di bawah kepimpinan beliau katanya, memberi manfaat kepada semua kaum dan seluruh Bangsa Johor tanpa mengira Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli.

“Beliau hanya menyatakan bahawa BN Johor mahu bergerak dengan identiti, kekuatan dan keyakinannya sendiri dalam menghadapi pilihan raya negeri.

“Itu bukan perkauman. Itu bukan ekstremisme. Itu adalah pendirian politik,” ujar Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai itu.

Malah, kata Mohd Jafni, jika benar pendirian itu bersifat antikaum, sudah tentu rakyat pelbagai bangsa di Johor tidak akan menikmati manfaat yang sama daripada dasar dan inisiatif kerajaan negeri sepanjang empat tahun ini.

Hakikatnya, bantuan kebajikan diberikan kepada semua kaum, ujar beliau lagi.

Tambahnya, peluang ekonomi dibuka kepada semua termasuk program perumahan dilaksanakan dan pembangunan negeri dirancang untuk seluruh Bangsa Johor.

“Inilah rekod sebenar empat tahun pentadbiran di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi di bumi Johor yang berdaulat ini.

“Oleh sebab itu, saya berpandangan bahawa perbahasan mengenai kerjasama politik perlu kekal sebagai perbahasan politik. Politik dengan politik.

“Jangan dicampuradukkan dengan isu kaum sehingga menimbulkan persepsi yang tidak selari dengan fakta dan realiti pentadbiran Johor hari ini,” katanya.

BN Johor katanya, menghormati semua kaum serta kepelbagaian masyarakat, namun juga berhak menentukan pendirian politiknya sendiri.

Hak itu tegas beliau, tidak seharusnya dipersoalkan hanya kerana tidak selari dengan kehendak pihak lain.

“Kita adalah Bangsa Johor. Kita sayang semua. Negara kita ialah sebuah negara demokrasi. Demokrasi terpakai untuk semua,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast