KLUANG – Barisan Nasional (BN) Johor diharap dapat memastikan calon berkaliber sahaja akan dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Cawangan Taman Ilham Datuk Amar, Abdul Hamid Dahlan berkata, kriteria itu penting tanpa mengira apa pun latar belakang calon.
“Perkara utama adalah boleh bekerja dengan baik selain mampu memberikan manfaat kepada rakyat di bawah pentadbirannya menjadi kriteria utama pilihan pengundi.
“Ini kerana dengan adanya seorang wakil rakyat yang boleh memenuhi keperluan rakyat dan negeri Johor, setiap kemajuan dirancang masa kini serta mendatang pasti akan dapat dilaksanakan lebih cemerlang seterusnya memberikan rakyat manfaat diharapkan,” ujarnya.
Abdul Hamid berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jentera UMNO Cawangan Taman Ilham Datuk Amar di Balai Wanita Taman Ilham di sini, malam tadi.
Katanya, pengundi secara hakikat tidak memilih siapa pun dicalonkan namun keutamaan adalah mereka yang boleh memberikan khidmat terbaik.
Jelasnya, apabila seseorang calon itu memenuhi kriteria seperti dituntut pengundi ditambah dengan gerak kerja petugas jentera, kemenangan pasti akan berpihak kepada BN.
“Untuk tujuan itu, pihak kepimpinan negeri diharapkan dapat mempertimbangkan calon-calon dikemukakan oleh pemimpin peringkat bahagian dengan mendapatkan pandangan daripada mereka sebelum seseorang calon itu diputuskan untuk bertanding.
“Ini kerana hanya mereka yang berada di peringkat akar umbi sahaja yang mengenali seseorang calon itu sama ada boleh atau sebaliknya dalam memberikan khidmat kepada masyarakat setempat,” katanya.
Dalam masa sama, pihaknya berjanji akan menggembelengkan keseluruhan tenaga jentera yang ada bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN dalam hasrat menjadikan Johor terus gemilang pada masa depan. – MalaysiaGazette
















