Dr. Zambry Abd Kadir.

JOHOR BAHRU – Mana-mana pihak tidak perlu melatah atau keterlaluan dalam mengkritik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung DAP.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendirian Onn Hafiz itu lahir daripada perbezaan prinsip dan pertimbangan politik, bukannya sentimen perkauman.

“Beliau bukan jenis cauvinis atau perkauman apabila menolak untuk bekerjasama dengan DAP, sebaliknya sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

“Isu ini bukan soal angkuh atau enggan berhubung dengan pihak yang berbeza pandangan politik. Sepanjang menerajui Johor, Datuk Onn (Hafiz) telah membuktikan bahawa beliau berkhidmat untuk semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun kecenderungan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, harus diingat bahawa Johor pada penggal lalu ditadbir oleh BN sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan, justeru pendirian politik yang dinyatakan Onn Hafiz perlu dilihat dalam konteks landskap politik negeri dan mandat yang diperjuangkan BN Johor.

“Pada masa yang sama, kita juga sering mendengar pelbagai kritikan, sindiran malah kecaman terhadap UMNO dan BN yang dilontarkan di pentas-pentas politik pihak lain.

“Namun, kita tidak pula menjadikannya isu besar atau menyerang mereka secara berlebihan,” katanya.

Apa yang lebih penting katanya, adalah komitmen semua pihak untuk memastikan kestabilan politik, kemajuan ekonomi serta kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

Bekas Menteri Besar Perak itu berpendapat, dalam aspek itu, Onn Hafiz terus melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sebagai Menteri Besar Johor.

“Daripada terus membesarkan polemik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat, adalah lebih baik semua pihak menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

“Ini dengan menawarkan idea dan penyelesaian terbaik kepada rakyat serta memperkukuh pembangunan ekonomi negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, akhirnya, rakyat akan menilai berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan dan keupayaan memimpin, bukannya retorik yang memecahbelahkan.

Ahad lalu Onn Hafiz ketika berucap dalam pelancaran jentera BN Johor menegaskan, beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar Johor sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP jika menang dalam PRN akan datang.

Tegas beliau, kerjasama antara BN khususnya UMNO dan DAP di negeri itu tidak pernah terjalin selama ini, berbeza berbanding realiti yang dihadapi di peringkat Pusat.

Kenyataan Onn Hafiz itu tular di dalam media sosial malah mendapat maklum balas segera daripada beberapa pemimpin tertinggi DAP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast