JOHOR BAHRU – Tidak wajar calon UMNO yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini akan diberikan ‘ganjaran’ menjadikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan selepas ini.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abdul Aziz berkata, keputusan tersebut nanti adalah naratif politik yang menyusahkan rakyat.
“Benda-benda ini semua adalah benda yang meningkatkan kos untuk rakyat tanpa sebenarnya keperluan. ADUN lantikan ini, saya sudah banyak kali sebut.
“Isu ADUN lantikan ini paling tak masuk akal. Pertama, kalau kamu perlukan pakar, pertama sekali apa yang kamu patut buat?
“Bila kamu nak meletak calon, letaklah pakar-pakar. Letaklah orang yang faham polisi. Letaklah orang tahu macam mana dasar yang nak dibuat untuk negeri.
“Kenapa nak kena lantik? Kamu letaklah orang itu sebagai calon supaya bila mereka menang, mereka boleh buat polisi tu,” katanya dalam kenyataan.
Pada 7 Mei lalu, usul lima ADUN lantikan diluluskan dalam sidang DUN bertujuan membawa masuk golongan pakar bagi membantu memperkukuh pentadbiran dan pembangunan negeri.
Mengulas lanjut, Amira Aisya berkata, keduanya, jika sememangnya tidak ada pakar atau faham tentang polisi untuk bertanding dalam Barisan Nasional (BN), mereka sepatutnya memperkukuhkan peranan jawatankuasa.
Sebagai contohnya, Jawatankuasa Perubahan Iklim yang dianggotainya sememangnya mempunyai pakar-pakar dalam bidang tersebut.
“Kemudian, kertas kertas cadangan daripada jawatankuasa dibahaskan dalam Dewan Undangan Negeri Johor. Itulah caranya untuk bawa masuk pakar, bukannya lantik ADUN yang mana ADUN ini mempunyai peruntukan ke, mereka mempunyai pencen.
“Dan saya nak tengok apa akan jadi dengan ADUN lantikan ni,” ujarnya yang juga Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.- MalaysiaGazette
















