JOHOR BAHRU – TH Tebrau Land Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan Monterra, sebuah pembangunan bersepadu bercampur bernilai RM941 juta di Tebrau di sini.
Pelancaran tersebut merupakan pembangunan kedua bagi anak syarikat Kumpulan Teguh Harian itu di daerah ini selepas kejayaan pelaksanaan dan penyerahan One49 Residence.
Dijadualkan siap sepenuhnya pada 2030, Monterra dijangka merancakkan penawaran baharu dalam segmen kediaman, runcit dan komersial di koridor Tebrau, sekali gus menyokong evolusinya sebagai satu pusat bandar utama di Johor Bahru.
Pengerusi Kumpulan Teguh Harian, Peh Lian Hwa berkata, Monterra akan memenuhi permintaan terhadap pembangunan yang menawarkan kemudahan, kesalinghubungan dan nilai jangka panjang dalam lokasi bandar yang matang.
“Pembeli hari ini tidak lagi menilai sesebuah hartanah berdasarkan unit kediaman semata-mata. Sebaliknya, mereka semakin mengutamakan faktor seperti lokasi, aksesibiliti dan kualiti persekitaran sekeliling.
“Mereka juga mencari lebih fleksibiliti dalam aspek memanfaatkan hartanah sebagai tempat kediaman mahupun aset pelaburan yang mampu menjana nilai dalam jangka panjang,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut baru-baru ini.
Beliau berkata, Monterra dirancang dengan mengambil kira faktor-faktor tersebut.
Jelasnya, selain menawarkan kediaman, ruang runcit dan komersial, projek itu menyediakan fleksibiliti, kemudahan serta kesalinghubungan dalam sebuah persekitaran bandar yang matang.

Dalam masa sama, kata beliau, pihaknya kekal yakin dengan prospek pertumbuhan jangka panjang Johor.
“Penambahbaikan infrastruktur yang berterusan, hubungan yang semakin kukuh dengan Singapura serta peningkatan aktiviti ekonomi dijangka terus merangsang permintaan terhadap pembangunan strategik yang mampu memenuhi keperluan penduduk, perniagaan dan pelabur yang sentiasa berubah,” katanya.
Monterra memperkukuhkan lagi kehadiran TH Tebrau Land di daerah ini dan mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu dalam membangunkan projek yang memenuhi keperluan pasaran di samping menyumbang kepada pertumbuhan berterusan koridor Tebrau.
Sejak prapelancarannya pada April lalu, kadar pengambilan projek itu sudah pun mencecah 80 peratus.
Terletak secara strategik kira-kira lima kilometer dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Monterra direka sebagai pembangunan bandar bersepadu yang merangkumi 1,565 unit apartmen servis, sebuah pusat beli-belah, 60 lot runcit dan hab komersial tiga tingkat yang menempatkan ruang perniagaan dan sebuah pusat perubatan khusus.
Komponen kediamannya menampilkan susun atur unit yang fleksibel bagi memenuhi pelbagai keperluan pembeli, membolehkan mereka mengkonfigurasi unit-unit terpilih sama ada untuk didiami sendiri atau sebagai pelaburan.
Konsep ini mencerminkan perubahan keutamaan pasaran yang semakin menghargai kediaman yang boleh disesuaikan dengan keperluan gaya hidup dan objektif pelaburan yang berbeza dari semasa ke semasa.
Pelancaran Monterra berlangsung ketika Johor terus meraih manfaat daripada pelaburan infrastruktur, peningkatan kesalinghubungan rentas sempadan serta pelaksanaan inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka memperkukuh pertumbuhan dan daya saing negeri ini dalam jangka panjang.
Selain komponen kediaman dan elemen runcit bersepadu, Monterra dijangka meningkatkan tahap kemudahan dan keselesaan kepada penduduk serta komuniti sekitar.
Pembangunan itu berjaya mendapatkan Cold Storage sebagai penyewa utama, manakala penyewa runcit lain dijangka memulakan operasi secara berperingkat-peringkat selaras penyerahan fasa pertama projek yang disasarkan pada 2029. – MalaysiaGazette















