KUALA LUMPUR – Kredibiliti bekas Isham Jalil yang sering mengulas hala tuju UMNO dipersoalkan memandangkan beliau sudah dipecat dari parti sejak 2023 lagi.
Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mohd Asna Amin berkata, kenyataan Isham yang mendakwa UMNO sukar mendapat sokongan rakyat kerana diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh dianggap mewakili pandangan sebenar ahli-ahli parti.
Menurutnya, Isham yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berhak menyuarakan pandangan peribadi namun tidak wajar menggambarkan dirinya seolah-olah mewakili suara akar umbi parti.
“Saya ingin bertanya, siapa sebenarnya Isham Jalil untuk bercakap bagi pihak UMNO? Ramai ahli di akar umbi tidak mengenali beliau dan tidak pernah melihat beliau bergerak bersama jentera parti di peringkat bawahan seperti pemimpin lain yang membina kekuatan UMNO sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Isham yang meminta Ahmad Zahid menerima hakikat tidak ramai pengundi akan menyokong sebuah parti yang ketuanya pernah berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah.
Mohd Asna berkata, hakikat Isham telah dipecat daripada UMNO pada Disember 2023 juga perlu diambil kira sebelum beliau terus mengulas mengenai kepimpinan dan masa depan parti.
Katanya, keputusan pemecatan itu dibuat oleh MKT UMNO selepas mendapati Isham melampaui batas yang ditetapkan parti.
“Justeru, adalah tidak tepat untuk beliau bercakap seolah-olah mewakili sentimen ahli-ahli UMNO atau memahami kehendak sebenar akar umbi ketika ini.
“UMNO mempunyai saluran tersendiri untuk membincangkan sebarang pandangan atau teguran secara tertib dan berlandaskan semangat perjuangan parti,” katanya.
Mohd Asna yang juga Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan berkata, dakwaan yang terus mengaitkan Ahmad Zahid dengan isu mahkamah juga perlu dilihat secara adil dan berdasarkan fakta perundangan.
Menurutnya, sehingga hari ini Presiden UMNO itu tidak pernah disabitkan bersalah oleh mana-mana mahkamah berhubung pertuduhan yang pernah dihadapinya.
Pada masa sama, Mohd Asna turut mengingatkan Isham pernah bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 namun gagal memperoleh kemenangan.
Katanya, keputusan itu membuktikan pandangan atau pendekatan politik Isham juga tidak semestinya diterima oleh pengundi secara keseluruhan. – MalaysiaGazette
















