KUALA LUMPUR – Malu kerana hanya menerima RM100, sebuah persatuan didakwa memulangkan semula sumbangan yang diberikan Ahli Parlimen Pas Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun.
Perkara itu dikongsikan menerusi Facebook Hasnizan Harun hari ini yang turut memaklumkan ia merupakan pertama kali sumbangannya ditolak.
Terdahulu, pengendali Facebook itu berkongsi mengenai kehadiran wakil sebuah persatuan ke pejabat Ahli Parlimen berkenaan yang juga Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Selangor yang memohon sumbangan bagi sebuah program.
Katanya, Mohd Hasnizan memaklumkan hanya mampu memberi sedikit sumbangan iaitu sekadar kemampuan dan dipersetujui wakil persatuan tersebut.
“Malangnya Pengerusi Persatuan telah berhubung dengan pihak YB minta no acc YB nak pulangkan semula sebab beliau malu nak kongsi dengan ahli dan peserta program.
“Tak pe lah nilai yang sedikit RM100 besar bagi yang benar-benar memerlukan. Video YB Hasnizan berkait dengan peruntukan telah viral satu Malaysia mungkin Tuan Pengerusi Persatuan tidak melihat/mendengar video tersebut tapi yang pasti wakil persatuan yang hadir tahu akan kewujudan video tersebut.
“Kami Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor akan simpan baik-baik surat Persatuan ini…,” demikian menurut hantaran itu.

Difahamkan, video yang dimaksudkan itu adalah berkenaan peruntukan yang tidak diterima oleh Ahli Parlimen Pembangkang seperti yang pernah dibangkitkan Mohd Hasnizan sebelum ini. – MalaysiaGazette
















