Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Hasrat sekumpulan aktivis Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) untuk menyelamatkan seorang lelaki yang didakwa menjadi mangsa kurung dan penderaan sindiket di sebuah pusat peranginan di Pahang bertukar menjadi episod tidak dijangka apabila mereka bersama seorang peguam ditahan polis.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tindakan itu susulan satu operasi menyelamat yang dijalankan selepas pertubuhan berkenaan menerima aduan kecemasan daripada seorang individu mengenai rakannya dipercayai sedang dikurung dan diseksa.

Menurut beliau, aduan itu turut disertakan dengan rakaman video memaparkan seorang lelaki dipukul menggunakan tali pinggang, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan aktivis MHO.

Katanya, paparan video berkenaan mengingatkan pertubuhan itu kepada pelbagai kes eksploitasi dan penyeksaan yang sebelum ini sering dibongkar melibatkan sindiket jenayah di luar negara.

“Lazimnya kes-kes seperti ini dikaitkan dengan operasi sindiket di Kemboja atau Myanmar.

“Apabila menerima maklumat mendakwa perkara sama berlaku di negara ini, sudah tentu kami memandang serius perkara tersebut.

“Sebagai sebuah NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia selama ini, kami merasakan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan keselamatan mangsa,” katanya hari ini.

Bertindak atas maklumat yang diterima, beberapa aktivis MHO bergegas ke lokasi yang dipercayai menjadi tempat mangsa ditahan.

Hishamuddin berkata, individu terbabit kemudiannya berjaya dibawa keluar sebelum aktivis yang terlibat bersama seorang wakil panel peguam MHO hadir ke balai polis berhampiran bagi membuat laporan mengenai kejadian tersebut.

Bagaimanapun, menurut beliau, keadaan bertukar apabila mereka yang hadir untuk membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa itu ditahan atas dakwaan melakukan kesalahan tertentu mengikut undang-undang.

Beliau mendakwa tindakan kemanusiaan yang dijalankan oleh aktivis MHO bagi membantu mangsa berkemungkinan telah disalah tafsir.

“Kami hadir dengan niat membantu individu yang dipercayai berada dalam keadaan bahaya dan seterusnya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Namun apa yang berlaku akhirnya menyaksikan mereka yang tampil membantu pula berdepan tindakan penahanan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap keseluruhan insiden berkenaan dapat dinilai secara menyeluruh berdasarkan fakta sebenar serta tujuan asal operasi yang dijalankan.

Ditubuhkan pada 2016, MHO aktif membantu mangsa eksploitasi, pemerdagangan manusia, penipuan serta pelbagai isu kemanusiaan lain melalui advokasi dan bantuan perundangan di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast