[ARKIB] Pengerusi PN yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjalan keluar selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat dan mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu di Ibu Pejabat Pas, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 08 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Status, kedudukan dan hala tuju Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dibuat secara sepihak dan hendaklah dirujuk kepada perlembagaan gabungan itu serta diputuskan melalui saluran rasmi, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tegas beliau, PN bukan milik mana-mana parti secara mutlak, sebaliknya adalah gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti-parti pengasas.

“PAS juga adalah antara parti pengasas PN dan saya sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi penubuhan PN.

“Keutamaan saya ialah memastikan PN terus diurus secara tertib, berprinsip dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Status PN menjadi tanda tanya selepas Pas memutuskan untuk ‘bercerai’ dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuatkuasa serta merta selepas mengadakan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu, malam Selasa lalu.

Persoalan itu timbul memandangkan kedua-dua parti merupakan pengasas kepada gabungan itu sejak Ogos 2020, sebelum disertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada Februari 2021 dan diikuti Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) pada April 2024. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast