Mohamed Azmin Ali ketika berucap kepada jentera dan ahli parti semasa melakukan jelajah di Endau, Mersing semalam.

MERSING – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin akan terus ‘menggenggam’ Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun penyandang kerusi itu, Alwiyah Talib sudah keluar parti awal bulan ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa, DUN Endau kekal menjadi kubu kuat parti itu dan sokongan akar umbi masih utuh.

“Bersatu sudah melalui pelbagai cabaran di kawasan Mersing namun sokongan akar umbi terhadap Bersatu kekal utuh.

“Bersatu telah melalui pelbagai ujian di Mersing tetapi Mersing tetap menjadi kubu Bersatu.

“Parlimen Mersing dan Endau telah dimenangi oleh Bersatu manakala jumlah undi DUN Tenggaroh dalam Pilihan Raya Parlimen menunjukkan Bersatu menang di DUN ini,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, beliau yang hadir pada siri jejalah PRN di daerah itu turut mengingatkan pimpinan bahagian untuk terus istiqamah dan bekerja kuat bagi mempertahankan kemenangan Bersatu di semua kerusi dalam Parlimen Mersing.

Pasa 4 Jun lalu Alwiyah mengisytiharkan keluar Bersatu dan kembali kepada UMNO selepas menimbang pelbagai asepek demi kebaikan dan masa depan DUN Endau.

Menurut Alwiyah, keputusan tersebut yang turut melibatkan peletakan semua jawatan yang disandangnya dalam Bersatu dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Alwiyah pertama kali memenangi kerusi DUN Endau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket Barisan Nasional (BN) bersama-sama UMNO.

Bagaimanapun, pada Mei 2018, beliau bersama beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor lain meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu.

Pada PRN 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau di bawah tiket Perikatan Nasional (Bersatu) dalam pertandingan lima penjuru.

Alwiyah kemudian dilantik sebagai Ketua Bersatu Bahagian Mersing berkuat kuasa 10 Mac lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast