KUALA LUMPUR – Pas mempunyai kuasa untuk memberi watikah yang membolehkan calon-calon `Reset’ daripada kem Datuk Seri Hamzah Zainudin bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, ini memandangkan Pas kini memegang jawatan Pengerusi dan Setiausaha Agung PN yang lazimnya mempunyai autoriti menandatangani watikah calon.
Beliau yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT berkata, kuasa menandatangani watikah calon itu sangat besar dan dengan kelebihan tersebut, Pas disifatkan control the game dalam konteks operasi PN.
Disebabkan itu juga, jelasnya, Pas dilihat mempunyai sedikit kelebihan dalam konteks PN menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Namun dalam aspek sokongan massa, situasi di Johor dan Negeri Sembilan bukanlah padang permainan yang selesa untuk Pas.
“Dengan kemelut yang membelit, serta tanpa sokongan Bersatu, besar cabaran yang terpaksa Pas hadapi untuk mencipta kejutan dalam kedua-dua PRN tersebut.
“Inilah situasi terkini, sekurang-kurangnya sehingga hari ini, mungkin esok situasi akan berubah.
“Situasi politik berubah dengan sangat pantas sekarang,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Mohd Yusri membangkitkan berkenaan persoalan bagaimana caranya untuk Pas mengeluarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada PN selepas perkara itu dibangkitkan banyak pihak susulan perkembangan terbaharu hubungan antara kedua-dua parti.
Namun, katanya, beliau sejujurnya tidak pasti bagaimana cara untuk Pas keluarkan Bersatu daripada PN sama ada ia boleh dilakukan dengan persetujuan parti komponen lain iaitu Pas, Gerakan dan MIPP.
Menurutnya, perkara itu memerlukan kepada pentafsiran dari sudut undang-undang dan berpandukan kepada perlembagaan PN pindaan terkini.
Namun, sesuatu yang pasti, tambahnya, beliau percaya Bersatu akan terus melawan untuk kekal berada di dalam PN, lebih jauh lagi akan terus melawan untuk kembali memiliki dan memimpin PN.
Dalam keadaan sekarang, ujarnya, Bersatu berada dalam situasi nothing to lose, justeru tiada sebab untuk segera mengalah.
“Jika berjaya kembali memiliki dan menerajui PN, itu satu nilai tambah yang sangat besar kepada Bersatu, berbaloi untuk bertahan dan bertarung.
“Sebab itu saya jangka polemik ini akan berterusan untuk beberapa ketika lagi, sukar untuk dinoktahkan dalam masa terdekat,” katanya.
Semalam, seramai 13 Ahli Parlimen Bersatu mendesak supaya parti itu segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan PN susulan keputusan Pas memutuskan hubungan dengan parti tersebut.
Menerusi kenyataan bersama, mereka mendakwa tindakan Pas itu bukan sesuatu yang mengejutkan berikutan sikap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disifatkan sebagai angkuh dan sombong. – MalaysiaGazette
















