KUALA LUMPUR – Kekuatan Malaysia bukan terletak kepada keseragaman, sebaliknya pada keupayaan negara menguruskan kepelbagaian secara adil dan saksama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga 2026 di sini hari ini, beliau berkata pengalaman Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama membuktikan masyarakat berbeza kepercayaan dan latar belakang mampu hidup bersama secara aman sambil terus berpegang teguh kepada kepercayaan serta pegangan masing-masing.
Perdana Menteri berkata meskipun Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Malaysia tetap sebuah negara majmuk yang mengamalkan nilai hormat-menghormati dan saling memahami dalam melaksanakan hak serta tanggungjawab sebagai warganegara.
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan kita melaksanakan hak serta tanggungjawab dengan penuh rasa hormat dan pertimbangan terhadap satu sama lain. Kita mahu memastikan setiap anggota masyarakat dan warganegara berasa selamat serta dilindungi secara saksama.
“Justeru, kekuatan kita bukan terletak pada keseragaman, sebaliknya pada keupayaan menguruskan kepelbagaian secara adil dan saksama. Kita percaya semangat ini, jika terus dipertahan dan diamalkan secara konsisten mampu menjadi contoh kepada masyarakat dunia,” katanya. – BERNAMA















