KUALA LUMPUR – Menjelang pemilihan Kuala Lumpur & Selangor Indian Chamber of Commerce and Industry (KLSICCI) pada 14 Jun ini, calon Presiden, VKK Rajasekaran percaya sudah tiba masanya dewan perdagangan itu bergerak melangkaui peranan tradisional sebagai platform jaringan perniagaan semata-mata.
Menurut beliau, dalam persekitaran ekonomi semakin mencabar, ahli kini memerlukan lebih daripada sekadar program dan sesi pertemuan perniagaan.
Sebaliknya, kata beliau, mereka memerlukan akses kepada peluang yang mampu membantu syarikat berkembang, menembusi pasaran baharu dan meningkatkan daya saing.
Bercakap menjelang hari pengundian, Rajasekaran berkata, ramai usahawan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berdepan cabaran mendapatkan akses kepada pembiayaan, pelanggan baharu, peluang perolehan dan rangkaian strategik.
Katanya, peranan sebuah dewan perdagangan adalah membantu ahli membuka pintu kepada peluang tersebut.
“Ramai ahli mempunyai produk yang baik, perkhidmatan yang berkualiti dan kemampuan untuk berkembang. Apa yang sering menjadi cabaran ialah akses.
“Akses kepada maklumat, akses kepada pembuat keputusan, akses kepada peluang dan akses kepada rangkaian yang boleh membantu mereka berkembang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Rajasekaran berkata, KLSICCI mempunyai kelebihan tersendiri kerana memiliki sejarah panjang, reputasi yang kukuh dan hubungan yang luas dalam komuniti perniagaan.
Menurutnya, kekuatan tersebut perlu dimanfaatkan dengan lebih berkesan bagi memastikan ahli memperoleh manfaat yang lebih besar daripada keanggotaan mereka.
Beliau berkata ramai ahli mahukan sebuah organisasi yang bukan sahaja mendengar masalah mereka, tetapi turut membantu mencari penyelesaian dan membuka peluang baharu.
“Kita tidak boleh mengukur kejayaan sesebuah organisasi hanya berdasarkan jumlah program yang dianjurkan.
“Apa yang lebih penting ialah sama ada ahli mendapat nilai, peluang dan hasil yang boleh membantu perniagaan mereka berkembang,” katanya.
Rajasekaran berkata, visi itu selari dengan tema kempennya, ‘From Legacy to Leverage’, yang menekankan keperluan memanfaatkan legasi dan pengaruh KLSICCI untuk menghasilkan manfaat yang lebih nyata kepada ahli.
Beliau percaya KLSICCI mempunyai potensi untuk kembali menjadi antara organisasi perniagaan paling berpengaruh dalam komuniti India sekiranya kekuatan sedia ada dapat diterjemahkan kepada peluang sebenar untuk ahli.
Pemilihan kepimpinan baharu KLSICCI bagi penggal 2026-2028 akan berlangsung pada 14 Jun ini dengan Rajasekaran mengetuai Team Raja yang turut menampilkan calon daripada pelbagai sektor termasuk pembuatan, pelancongan, tenaga, teknologi, logistik, kesihatan dan pendidikan teknikal.
“Kita mempunyai asas yang kukuh untuk bergerak ke hadapan. Cabarannya bukan membina legasi baharu, tetapi bagaimana memanfaatkan legasi yang sudah ada untuk mencipta lebih banyak peluang kepada ahli pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette
`Team Raja’ gabung pemimpin pelbagai industri rebut hati ahli KLSICCI
















