KULAI – Arthur Chiong Sen Sern diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pertama yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bagi mempertahankan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya Bersama bagi PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas mendapat perkenan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saifuddin Nasution berkata, Arthur Chiong merupakan calon terbaik mempertahan kerusi dimenanginya pada PRN Johor lalu dan berupaya menyumbang kerusi kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRN Ke-16 ini.
“Untuk makluman semua hadirin, Presiden PKR yang juga Pengerusi PH telah bersetuju untuk saya umumkan pada malam ini bahawa Arthur (Sen Sern) akan menjadi calon di Bukit Batu.
“Ini calon PKR pertama yang kita umumkan untuk bertanding, yang lain kita belum boleh umumkan lagi,” katanya.
Naib Presiden PKR itu berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera PH DUN Bukit Batu di Flat Cengal, Taman Putri, di sini malam ini.
Turut hadir Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching merangkap Ahli Parlimen Kulai.
Saifuddin Nasution mengingatkan Sern Sern bersiap siaga dengan jenteranya untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan buat PH.
Ketua Setiausaha PH itu berharap calon tersebut akan mendapatkan sokongan daripada semua jentera dalam gabungan PH untuk membantu memenangkan kerusi tersebut.
“Saya juga turut berjumpa dengan Ahli Parlimen Kulai, Nie Ching di pejabatnya untuk meminta jentera DAP membantu kempen calon daripada PKR ini, kemenangan Arthur adalah kemenangan untuk DAP dan juga Amanah,” ujarnya.
Sementara itu, Arthur Chiong melahirkan tekad untuk memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu tidak akan terlepas daripada genggaman PH pada PRN Johor Ke-16.
Beliau yang merupakan Ketua PKR Cabang Kulai berterima kasih kerana diberi peluang sekali lagi untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Batu buat penggal kedua.
“Saya amat berterima kasih kepada Presiden dan Naib Presiden PKR apabila memberi kepercayaan kepada saya untuk bertanding di kerusi DUN Bukit Batu.
“Saya akan bawa jentera parti yang berbilang bangsa untuk turun berkempen di kawasan Bukit Batu bagi meyakinkan pengundi untuk memenangkan kerusi ini,” ujarnya ketika ditemui.
Pada PRN Johor Ke-15, beliau memenangi kerusi tersebut dengan majoriti tipis 137 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Calon BN, Suppayah Solaimuthu tidak berpuas hati dengan kekalahannya di kerusi itu sebelum mencabar keputusan, namun Mahkamah Pilihan Raya pada 15 Jun 2022 menolak petisyen yang difailkan. – MalaysiaGazette
















