Ahmad Zahid, Zambry dan kepimpinan tertinggi UMNO hadir  dalam Mesyuarat Agung Tahunan BN di Ibu Pejabat UMNO Johor, Johor Bahru malam ini.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN)  menggerakkan seluruh jentera secara menyeluruh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Zambry Abdul Kadir berkata, ini bagi memastikan kemenangan dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan.

Beliau berkata, ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan BN yang dipengerusikan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO Johor di sini, malam ini.

“Kita telah mendengar taklimat mengenai persiapan PRN yang diberikan oleh Menteri Besar Johor dan Pengurusi BN Negeri Sembilan yang terlibat.

“Mesyuarat turut menzahirkan iltizam dan kesepakatan kepimpinan BN untuk terus memperkukuh parti, menjamin kestabilan politik negara serta merangka strategi terbaik bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menambah, BN akan terus memperkukuhkan kesatuan dalam kalangan parti-parti komponen serta Friends of BN bagi memastikan kestabilan politik dan membina pentadbiran yang terus diyakini rakyat.

Mesyuarat juga katanya, memuktamadkan pendirian bahawa BN akan bertanding menggunakan logo dacing pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“Dalam masa sama, agenda keahlian terus BN atau BN Direct Membership akan diperkasakan, khususnya bagi menarik penyertaan golongan profesional, anak muda dan masyarakat umum,” katanya.

Menurut beliau, BN juga menegaskan komitmen untuk terus mendukung kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan negara, meningkatkan keyakinan pelabur serta menjayakan agenda pembangunan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast