JOHOR BAHRU – Parti Wawasan Negara (Wawasan) akan mengumumkan senarai calon dan kerusi untuk yang akan ditandingi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat.
Penyelaras Gerakan Reset Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, sudah ada perbincangan untuk kerjasama atau persefahaman politik dengan parti lain untuk bersama-sama dalam PRN Johor.
“Saya selaku Penyelaras Gerakan Reset Johor ingin menyatakan kesediaan penuh untuk mentransformasikan keseluruhan 26 Bahagian Gerakan Reset di negeri Johor bagi menyertai Parti Wawasan Negara.
“Penubuhan Parti Wawasan Negara merupakan satu langkah yang penting dalam memastikan perjuangan yang telah digerakkan melalui Gerakan Reset Malaysia dapat diteruskan dengan lebih tersusun, berkesan dan mempunyai platform politik yang sah untuk membawa agenda perubahan kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Gerakan Reset Malaysia yang diasaskan oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin sebaik dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Februari lalu berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat.
Jelasnya, mereka berkongsi aspirasi sama iaitu untuk melihat lahirnya sebuah Malaysia yang lebih baik, lebih adil dan lebih sejahtera.
Namun katanya, perjuangan melakukan pembaharuan tidak akan dapat dicapai sepenuhnya tanpa sebuah wadah politik yang mampu menterjemahkan gagasan tersebut kepada dasar dan tindakan memberi manfaat kepada rakyat.
“Atas sebab itu, Parti Wawasan Negara bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi merupakan kesinambungan kepada perjuangan Reset yang telah digerakkan.
“Kedua-duanya berkongsi matlamat yang sama iaitu memperbetulkan sistem yang semakin memerlukan pembaharuan serta membina sebuah Konsensus Nasional Baharu yang mampu menyatukan rakyat pelbagai latar belakang demi masa depan negara,” katanya.
Beliau yakin transformasi Gerakan Reset seluruh negara ke dalam Wawasan akan memperkukuhkan lagi perjuangan itu.
“Perjuangan ini tidak pernah terhenti. Ia hanya memasuki fasa yang baharu dengan wadah yang lebih jelas dan lebih tersusun,” katanya.- MalaysiaGazette
















