SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor terbuka untuk menambah baik Garis Panduan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sekiranya terdapat keperluan namun isu berkenaan tidak seharusnya dipolemikkan demi kepentingan politik.
Itu kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (LIMAS), Papparaidu Veraman yang juga Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Kerajaan Negeri Selangor.
Beliau berkata, garis panduan itu bukan sesuatu yang baharu kerana telah diperkenalkan sejak 2005 sebagai rujukan rasmi dalam pengurusan permohonan dan urusan berkaitan rumah ibadat bukan Islam di Selangor.
Menurutnya, pihak yang kini lantang menggesa kerajaan negeri menyemak semula garis panduan tersebut sepatutnya telah berbuat demikian ketika mereka masih memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Jika benar garis panduan ini dianggap bermasalah atau sudah tidak lagi sesuai, mereka yang pernah berada dalam kerajaan juga perlu menjelaskan mengapa semakan menyeluruh tidak dilaksanakan ketika mereka mempunyai ruang dan tanggungjawab untuk berbuat demikian.
“Persoalannya, mengapa isu ini hanya dibangkitkan secara terbuka selepas mereka tidak lagi menjadi sebahagian daripada pentadbiran negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Papparaidu tidak mempunyai sebarang bantahan sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk menyemak dan menambah baik garis panduan sedia ada supaya ia kekal relevan dengan keperluan semasa.
Katanya, mana-mana dasar yang telah digunakan dalam tempoh yang panjang sewajarnya dinilai secara berkala bagi memastikan keberkesanannya dapat dipertingkatkan.
Beliau turut menyatakan keyakinan sebarang cadangan pindaan akan diteliti secara menyeluruh di bawah kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
“Kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak bagi memastikan keharmonian antara agama dan kaum terus terpelihara.
“Bagaimanapun, sebarang cadangan penambahbaikan perlu dikemukakan secara bertanggungjawab, bersifat membina dan bukan didorong oleh kepentingan politik semata-mata,” ujarnya.
Tambah beliau, perbincangan mengenai isu itu juga perlu berpaksikan fakta, sejarah pelaksanaan garis panduan serta semangat saling menghormati yang sekian lama menjadi asas kepada keharmonian masyarakat majmuk di Selangor.
Katanya, isu berkaitan rumah ibadat bukan Islam perlu dibincangkan secara matang dan bertanggungjawab dengan matlamat memperkukuhkan perpaduan rakyat, bukannya dijadikan polemik yang berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette















