Albert Tei Jiann Cheing.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei mengecam apa yang disifatkannya sebagai sikap dua darjat dalam kalangan pemimpin DAP berhubung isu melibatkan kenyataan berunsur perkauman di negara ini.

Menurut Albert, pemimpin DAP didakwa hanya memilih untuk memberikan nasihat apabila isu membabitkan individu atau pihak yang mempunyai kaitan dengan parti itu.

“Jika kesalahan berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) melibatkan pemimpin daripada Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) khususnya Pas, pemimpin DAP akan menggesa tindakan tegas dan hukuman berat dikenakan terhadap individu terbabit.

“DAP sering menggunakan isu perkauman 3R sebagai modal politik bagi menunjukkan imej sebagai pembela masyarakat Cina.

“DAP akan menunggang kesempatan isu perkauman 3R ini untuk menunjukkan gaya terpaling ‘hero’ kepada masyarakat Cina kononnya mempertahankan hak dan maruah orang Cina bagi mencari modal politik,” dakwanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan, dirinya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan provokasi antara kaum termasuk individu yang didakwa mengeluarkan kenyataan ‘Cina Sesat’ baru-baru ini.

Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengulas kritikan dengan menasihati Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali terutama membabitkan bahasa yang diguna pakai ketika membuat kenyataan selepas dilantik menerajui jabatan itu.

Hisyamuddin atau lebih dikenali Syam Ghaz yang dilantik menerajui J-KOM pada 8 Jun lalu berdepan kritikan ramai selepas satu hantaran pada Sabtu lalu yang disifatkan sebagai rasis.

Mengulas lanjut, Albert  tidak akan bertolak ansur dengan individu yang didakwanya mencetuskan provokasi antara kaum melalui kenyataan ‘Cina Sesat’ yang menurutnya bersifat jelek dan tidak wajar.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pendiriannya untuk terus bersuara mengenai perkara itu walaupun berdepan kritikan.

“Saya sanggup menjadi ‘penjahat’ daripada menjadi manusia yang hipokrit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast