KUALA LUMPUR – Industri ikan siakap negara ini dijangka berdepan cabaran baharu susulan perubahan landskap perdagangan antara Malaysia dan Thailand yang berpotensi meningkatkan tekanan terhadap pasaran domestik akibat lebihan bekalan.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, Thailand sebelum ini merupakan destinasi eksport utama siakap Malaysia dengan prestasi perdagangan yang amat memberangsangkan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, nilai eksport siakap ke Thailand meningkat sebanyak 55.7 peratus antara 2022 hingga 2024, daripada RM38.21 juta kepada RM92.64 juta, manakala jumlah eksport turut melonjak daripada 4,838 tan metrik kepada 9,285 tan metrik.
“Pada tahun 2024, Thailand menyumbang 80.6 peratus daripada keseluruhan nilai eksport global siakap Malaysia yang berjumlah RM114.99 juta, sekali gus menunjukkan tahap kebergantungan yang tinggi terhadap pasaran negara itu,” menurut kenyataan jabatan tersebut.
Bagaimanapun, perubahan dasar perdagangan semasa dijangka memberi kesan kepada industri apabila akses kepada pasaran eksport utama berkurangan, sekali gus berpotensi menyebabkan lebihan bekalan dalam negara.
Situasi itu dijangka memberi tekanan kepada harga jualan di peringkat ladang dan menjejaskan margin keuntungan pengusaha akuakultur tempatan.
Adnan berkata, walaupun berdepan cabaran, perkembangan tersebut turut membuka peluang kepada industri untuk meneroka pasaran eksport baharu, memperkukuh pasaran domestik dan mengembangkan produk hiliran bernilai tambah.
Katanya, usaha mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran eksport sahaja penting bagi meningkatkan daya tahan industri siakap negara dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global.
Pada masa sama, Jabatan Perikanan Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa serta melaksanakan pelbagai langkah intervensi strategik termasuk meneroka pasaran alternatif dan memperkukuh sokongan kepada pemain industri.
Menurut jabatan itu, kerjasama erat antara kerajaan, pengusaha dan rakan perdagangan serantau amat penting bagi memastikan sektor akuakultur negara terus kekal kompetitif, mampan dan berdaya tahan.
Dalam pada itu, Adnan memberi jaminan bekalan udang di negara ini mencukupi bagi memenuhi permintaan domestik susulan langkah sekatan import udang dari Thailand dijangka memberi kesan kepada corak penawaran pasaran domestik.
Berikutan itu, orang ramai tidak perlu bimbang terhadap bekalan udang di pasaran.
“Bekalan udang negara berada pada tahap stabil dan mencukupi bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
“Sebarang perubahan dalam corak import tidak akan menjejaskan keterjaminan bekalan makanan kerana industri akuakultur domestik mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menampung kekosongan bekalan secara berperingkat,” katanya. – MalaysiaGazette
















