LONDON – Manchester United dijangka melakukan beberapa perubahan di posisi penjaga gol menjelang musim baharu, lapor The Athletic.
Menurut laporan wartawannya, Laurie Whitwell, penjaga gol muda Man United, Radek Vitek berkemungkinan akan meninggalkan Old Trafford sama ada secara pinjaman atau perpindahan tetap bagi mendapatkan minit permainan yang lebih di peringkat pasukan utama.
Pada masa sama, beberapa kelab dilaporkan telah menunjukkan minat terhadap pemain tersebut, kata Whitwell.
“Man United juga kini sedang menilai beberapa pilihan untuk memperkukuhkan posisi penjaga gol kedua sekiranya Altay Bayindir meninggalkan kelab pada pasaran perpindahan ini.
“Karl Darlow dilaporkan muncul sebagai salah satu calon utama untuk mengisi peranan tersebut meskipun ketika ini perbincangan masih berada di peringkat awal.
“Selain itu, Sam Johnstone turut berada dalam senarai pemain yang dipertimbangkan oleh pihak kelab.
“Pengurusan United difahamkan mahu membawa masuk penjaga gol berpengalaman yang mampu memberi persaingan serta sokongan kepada penjaga gol utama, Senne Lammens.
“Satu lagi faktor yang turut dipertimbangkan ialah status pemain homegrown. Sekiranya United mendapatkan penjaga gol tempatan sebagai pengganti Bayindir, ia akan membuka satu slot tambahan dalam skuad untuk digunakan di posisi lain,” kata laporan itu. – Agensi
















