Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu memberi keterangan di Mahkamah Tinggi dalam kes saman sivil RM30 juta difailkan 12 individu terhadap seorang ahli perniagaan, Vinod Sekhar dan isterinya, Winny Yeap Liew Heoh.

Perkara itu ditentukan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah mengetepikan sepina yang dikeluarkan terhadap Perdana Menteri bertarikh 15 Januari lalu,

Mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Tambun itu untuk mengetepikan sepina 12 individu berkenaan selaku plaintif selepas berpuas hati mereka gagal membuktikan Anwar merupakan saksi yang relevan untuk dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan berkenaan.

“Tiada manfaat yang dapat diperoleh dengan memaksa beliau hadir ke mahkamah sebaliknya ia bersifat menindas yang akan mengalihkan fokus perbicaraan daripada isu undang-undang sebenar.

“Plaintif turut bergantung kepada gambar, hantaran media sosial dan majlis umum awam yang melibatkan Anwar serta Vinod,” katanya.

Beliau berkata, kandungan media sosial itu hanya menunjukkan mereka saling mengenali atau mempunyai hubungan, bukannya membuktikan bahawa Anwar mempunyai pengetahuan peribadi mengenai transaksi yang dinyatakan dalam tuntutan.

Menurutnya, sepina tidak boleh dikeluarkan sesuka hati tanpa kawalan mahkamah.

Katanya, plaintif mendakwa nama Anwar digunakan untuk melakukan penipuan, namun saksi mereka sendiri mengakui tiada bukti menunjukkan nama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu digunakan untuk mendapatkan pelaburan atau wang daripada mana-mana pihak.

“Sehubungan itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Anwar) untuk mengetepikan sepina tersebut,” katanya yang memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Anwar.

Dalam prosiding berkenaan, peguam Sanjay Mohan hadir mewakili Anwar sementara plaintif diwakili Colin Andrew Pereira.

Pada 2023, Vinod dan isterinya disaman oleh 12 individu atas dakwaan salah nyata, penipuan dan pelanggaran kontrak.

Seramai 10 daripada 12 plaintif tersebut merupakan pelaburnya iaitu Graham David Bell, Arthur J Mirante II, Ronald Barrie Clapham, Charles Robert Henry Stone, Paul Sallis Benney, Paul Nicholas Smith, Octavio Augusto Vallarino Arias, Simon Hafeitz Homsany, Talbortt Gerard Young dan Uri Fruchtmann.

Dua plaintif lain ialah Andrew Murray-Watson dan April Srivikorn yang merupakan bekas pekerja Vinod.

Kumpulan plaintif itu mendakwa bahawa Vinod telah memujuk mereka untuk melaburkan wang sama ada dengannya atau melalui pelbagai syarikat miliknya, tanpa mendedahkan status kebankrapan yang didakwa ketika itu.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif berkata mereka telah menyoal Vinod mengenai isu kebankrapan tersebut melalui e-mel pada 30 September 2020.

Vinod didakwa telah mengambil ringan perkara itu dan seolah-olah mencadangkan bahawa seorang individu bernama ‘Anwar’ akan menguruskan perkara tersebut dan menyebabkan mereka percaya bahawa lelaki tersebut merujuk kepada Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast