JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, langkah selanjutnya akan diputuskan pasukan peguam mereka bagi menentukan tindakan undang-undang terhadap bekas Timbalan Presiden PKR dan Naib Presiden PKR itu.
“Dahlah. Dahlah. Dia dah meletak jawatan dahlah. Dia dah keluar parti. I leave it to the lawyers,” katanya mengulas perkembangan tindakan terhadap Rafizi dan Nik Nazmi.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas sesi walkabout Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Pasar Raya Econsave Taman Daya di sini, hari ini.
Rafizi dan Nik Nazmi melepaskan kerusi Parlimen Pandan dan Parlimen Setiawangsa disusuli dengan pengumuman keluar PKR pada 17 Mei lalu.
Kedua-dua kerusi Parlimen tersebut dikosongkan secara rasmi bagi mengelak isu lompat parti.
PKR dilaporkan meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka mengikut peruntukan Akta Anti-Lompat Parti serta menuntut bon bernilai RM10 juta yang dikenakan terhadap kedua-duanya.
Rafizi kemudian mendaftar sebagai ahli biasa Parti Bersama Malaysia pada 21 Mei, manakala PKR menganggap tarikh ikrar keluar dibuat pada 17 Mei sebagai titik rasmi beliau meninggalkan parti. – MalaysiaGazette
















